fbpx
Kereta lama yang masih kukuh untuk dipandu di jalan raya, bakal mendapat sentuhan baharu melalui projek penukaran kepada EV yang bakal mendapat kelulusan daripada JPJ. – Gambar hiasan

Tukar kereta lama menjadi EV

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Berita baik buat pemilik kenderaan lama yang masih kukuh dan utuh untuk dipandu di jalan raya, mereka boleh menukar dan mengubah suai kenderaan tersebut menjadi kenderaan elektrik (EV).

Melalui kajian mendalam yang dijalankan oleh NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia) dengan pensijilan yang dianugerahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kenderaan lama itu bakal berwajah baharu dengan dikuasakan sebagai EV.

Ketua Pegawai ­Eksekutif NanoMalaysia Berhad (NanoMalaysia), Dr. Rezal Khairi Ahmad berkata, ini adalah trend yang telah dilaksanakan di negara barat dan beliau optimis projek ini bakal mendapat sambutan menggalakkan di pasaran tempatan.

Sehubungan itu, Nano­Malaysia telah bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk JPJ untuk me­realisasikan projek unik itu.

“Kami akan beri nafas baharu kepada kende­raan lama dan dalam masa yang sama, kami dapat mengurangkan jumlah kereta tersadai (pastinya ia boleh memberi kesan kepada alam sekitar).

“Dalam masa yang sama, ia dapat memberi peluang kepada mereka yang tidak berkemam­puan untuk memiliki EV baharu tetapi sebaliknya dapat memakai EV yang dinaik taraf hasil kajian tempatan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.

Rezal Khairi menerangkan, JPJ akan melegalisasikan penukaran tersebut dan ia bakal dilaksanakan separuh pertama tahun depan.

Tambah beliau, agensi tersebut akan mengeluarkan peraturan terperinci untuk melaksanakan proses penukaran tersebut selain melantik bengkel-bengkel yang dibenarkan untuk terbabit dalam usaha berkenaan.

Jelasnya, prosedur utama untuk membuat penukaran tersebut hanya dibenarkan oleh JPJ tertakluk kepada kuasa enjin, saiz dan aspek keselamatan kenderaan tersebut.

Rezal Khairi tidak menolak kemungkinan kos untuk menukar kenderaan lama kepada EV adalah dalam sekitar RM30,000.  -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN