fbpx

‘Berapa yang kami ada, itulah untuk makan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Juniza (kanan) bersama anak-anaknya ketika ditemui di rumahnya di Apartmen Dahlia, Seremban baru-baru ini.

SEREMBAN – Sepasang suami isteri buntu memikirkan bagaimana mahu menyara kehidupan bersama lima cahaya mata berusia empat hingga 16 tahun selepas tidak mampu bekerja kerana menghidap darah tinggi dan masalah tulang selangka.

Juniza Syamin Abdul Wahid, 33, berkata, dia mengalami cacat kekal tulang selangka ekoran kemalangan jalan raya pada 2017 sehingga membuatkan dirinya tidak mampu bekerja.

Katanya, suami yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori turut sama tidak dapat keluar mencari rezeki ekoran menghidap penyakit darah tinggi dan kolesterol.

Menurutnya, mereka kini ber­gantung kepada bantuan Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM950 sebulan.

“Kami bersyukur dengan bantuan itu, namun pada masa ini ia tidak mencukupi untuk menyara keluarga memandangkan rumah sewa sahaja RM700 sebulan.

“Saya tidak dapat bekerja ekoran kecederaan yang saya alami pada tulang ini. Doktor nasihatkan untuk tidak melakukan kerja-kerja lasak serta mengangkat berat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Apartmen Dahlia, di sini baru-baru ini.

Tambah Juniza, dia pernah bekerja sambilan di sebuah restoran sebelum ini, namun hanya bertahan selama lima hari sahaja sebab batuk teruk dan sakit pada bahagian tulang.

Jelasnya, sejak September lalu kami tidak dapat keluar bekerja dan disebabkan itu mereka tidak mampu membayar ansuran bulanan motosikal selama tiga bulan.

“Tunggakan itu kini mencecah RM519. Bagaimana mahu membayarnya kerana sudah tiga bulan tidak bekerja, kami perlu dahulukan keperluan anak-anak,”

“Apa duit yang kami ada, itu sahaja perbelanjaan kami, kadang-kadang ada lebih kadang-kurang tidak,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga ini boleh menyalurkan kepada akaun ­Maybank Juniza 164221511074.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI