fbpx

Pendekatan baharu diperkenal dalam kurikulum sekolah 2027

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina berucap pada Bicara Profesional Kurikulum Persekolahan 2027 di Auditorium Kompleks E Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, hari ini. Foto FAIZ ALIF ZUBIR

PUTRAJAYA – Pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu merupakan tiga pendekatan baharu yang akan diperkenalkan dalam kurikulum persekolahan 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kurikulum persekolahan 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat iaitu bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 pada 2027, manakala bagi murid prasekolah akan diperkenalkan pada 2026.

Menurutnya, reka bentuk kurikulum 2027 bakal menggabungkan kurikulum berasaskan standard dan kurikulum berorientasikan kompetensi yang menggalakkan pembelajaran aktif murid, menyediakan pengalaman pembelajaran dan penilaian lebih autentik serta bermakna.

“Ada beberapa perkara penting yang ingin ditegaskan khususnya bagaimana kurikulum persekolahan 2027 akan dipacu mulai hari ini. Pertama, pastilah berdasarkan kaji selidik awal yang telah dilaksanakan bersama responden menyatakan hasrat dan aspirasi mereka ingin melihat kurikulum 2027 akan datang itu benar-benar mencapai maksud.

“Dalam konteks anak-anak pula, ia diperkukuhkan dari segi pendekatan pendidikan karakter dan juga elemen-elemen yang berkait rapat dengan kemahiran,” katanya pada sidang media selepas program Bicara Profesional Kementerian Pendidikan (KPM) Kurikulum Persekolahan 2027, di sini hari ini.

Dalam pada itu, menerusi ucapannya, Fadhlina berkata, pembentukan karakter yang dihasratkan adalah berteraskan prinsip Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan untuk membentuk individu yang dapat menyumbang kepada pembentukan negara melalui kurikulum terancang dan berstruktur.

Jelas beliau, pendidikan karakter itu memberi penekanan kepada pembangunan diri murid yang berdaya tahan, tangkas, memiliki kesedaran sivik yang tinggi dan mentaliti pertumbuhan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI