fbpx

Perjalanan satu tahun: 5 pencapaian utama Ahmad Zahid teraju KKDW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid

PETALING JAYA – Perjalanan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disifatkan mencapai sasaran yang ditetapkan dengan lima pecapaian utama sepanjang 12 bulan beliau meneraju Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) .

Pencapaian pemimpin itu dikongsi menerusi dokumentari Perjalanan Satu Tahun Ahmad Zahid Hamidi yang disiarkan di YouTube miliknya, hari ini.

Lima pencapaian utama beliau meliputi pembangunan modal insan, pembangunan infrastruktur, kesejahteraan rakyat dan kawasan luar bandar, penghayatan Islam dan pembangunan halal serta keterjaminan makanan negara.

Bagi pembangunan modal insan, Ahmad Zahid berjaya mewujudkan usaha ke arah melahirkan tenaga mahir warga tempatan untuk memenuhi keperluan industri negara melalui Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Malaysia.

“Beliau juga berjaya menubuhkan sekretariat TVET bagi menyelaraskan program dam kursus di 1,344 institusi TVET seluruh Negara selain mewujudkan sistem permohonan TVET baharu yang dikenali sebagai UP_TVET termasuk kolaborasi dengan lebih 200 pemain industri terkemuka.

“Usaha pembangunan modal insan turut diperkasa melalui program penghayatan Islam dan ilmu al-Quran program Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dengan sasaran melahirkan seramai 100,000 huffaz cilik menjelang 2026,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga komited membangunkan infrastruktur luar bandar apabila meluluskan sebanyak RM300 juta bagi menaik taraf jalan perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

Antara lain, beliau turut berjaya memacu KKDW mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan dengan menyiapkan 1,500 projek akses kepada hubungan luar bandar berbanding sasaran 1,000 projek dengan kadar pencapaian 150 peratus.

“Kejayaan menyiapkan 388 projek ameniti sosial seperti balai raya, masjid, surau dan tandas berbanding sasaran 200 projek dengan kadar pencapaian Sebanyak 194 peratus.

“Untuk memastikan kesejahteraan dan kemakmuran di kawasan luar bandar, peruntukan sebanyak RM63.75 juta diberikan kepada 318,642 pekebun kecil getah di mana masing masing menerima bantuan berjumlah RM200 seorang.

“Keprihatinan Ahmad Zahid juga ditonjolkan melalui usaha menaikkan elaun membantu pendidikan masyarakat sukarela Kemas daripada RM500 kepada RM800 sebulan,” ujarnya.

Tambahnya, Ahmad Zahid juga berjaya menaikkan martabat Islam apabila mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan.

“Ini termasuklah menghimpunkan 23,000 huffaz dari seluruh negara dan menyempurnakan 1,000 kali khatam al-Quran serta kembali mengadakan Zikir Perdana Sedunia yang dianjurkan di Putrajaya.

“Dalam isu keterjaminan makanan, Ahmad Zahid mengambil pendekatan dengan menggerakkan usaha membangunkan estet padi Felcra Berhad (Felcra) di Seberang Perak berkeluasan lebih 4,000 hektar dengan hasil keluaran kasar untuk dua musim setahun.

“Selain itu, beliau turut berjaya merealisasikan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Sabah dalam membangunkan antara 15,000 hingga 20,000 hektar tanah untuk penanaman padi secara berkelompok yang menyediakan stok beras hampir 300,000 tan setahun,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI