fbpx

Konflik Palestin-Israel : Zionis lancar 10,000 serangan udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dirakam dari selatan Israel menunjukkan asap tebal memenuhi ruang udara di wilayah Semenanjung Gaza semasa serangan Zionis kelmarin. – AFP

GAZA – Israel memperluaskan serangan ke atas kumpulan Hamas di Semenanjung Gaza semalam ketika masyarakat antarabangsa semakin bimbang berikutan angka korban penduduk awam kian meningkat dalam perang yang tercetus oleh serangan pada 7 Oktober lalu.

Perang Israel-Hamas yang meletus semula selepas gencatan senjata berakhir itu berisiko menjadi katalis kepada konflik lebih meluas.

Sejak gencatan senjata tamat Jumaat lalu, pertempuran di Gaza tercetus semula, begitu juga dengan serangan roket Palestin ke arah Israel dan serangan udara Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Pada hujung minggu lalu, asap tebal dan abu memenuhi ruang udara akibat serangan udara Israel di utara Gaza.

Kelmarin tentera Rejim Zionis melaporkan bedilan roket Gaza ke Israel, sambil menambah bahawa kebanyakannya telah dipintas.

Kerajaan Hamas di Gaza dan agensi berita rasmi Wafa berkata, serangan udara Zionis mengenai pintu masuk hospital Kamal Adwan di utara Gaza lewat kelmarin.

Beberapa orang terbunuh dalam serangan itu, lapor Wafa, manakala Hamas menuduh Israel melakukan ‘pelanggaran serius’ undang-undang kemanusiaan.
“Tentera Israel terus meluaskan operasi daratnya terhadap barisan utama Hamas di Semenanjung Gaza,” kata jurucakap tentera Israel, Daniel Hagari kelmarin.

Israel berikrar untuk menghapuskan Hamas sebagai tindakan balas terhadap serangan kumpulan pejuang Palestin itu pada 7 Oktober lalu yang mengorbankan kira-kira 1,200 orang, kebanyakan mereka orang awam, kata pihak berkuasa Israel.

Dianggarkan seramai 240 telah dijadikan tebusan.

Kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas di Gaza pula berkata lebih 15,500 orang terbunuh di wilayah itu sejak 7 Oktober lalu, lebih separuh daripada mereka ialah wanita dan kanak-kanak.

Di bawah gencatan senjata yang diusahakan oleh Qatar dengan sokongan Mesir dan Amerika Syarikat, seramai 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran untuk pembebasan 240 rakyat Palestin yang ditahan di penjara Israel.

Lebih 24 tawanan lain turut dibebaskan dari Semenanjung Gaza.

Bagaimanapun, pertempuran bersambung antara kedua-dua belah pihak pada Jumaat lepas walaupun masyarakat antarabangsa mendesak supaya gencatan senjata dilanjutkan.

Keesokan harinya, pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, perunding Israel telah dipanggil pulang dari Qatar ekoran kebuntuan dalam rundingan yang bertujuan memperbaharui gencatan senjata.

Dengan 137 tebusan masih ditahan di Gaza, Hamas menolak lebih banyak pembebasan sehingga gencatan senjata kekal dipersetujui.

Kelmarin tentera Israel berkata bahawa pihaknya melancarkan kira-kira 10,000 serangan udara sejak perang bermula.

Pertempuran juga berlaku di sempadan utara Israel dengan Lebanon.

Militia Hezbollah yang disokong Iran berkata, pihaknya melancarkan beberapa serangan ke atas kedudukan Israel, termasuk serangan peluru berpandu ke atas kenderaan tentera Rejim Zionis. — AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI