fbpx

102 kes penyakit berjangkit dilaporkan di 4 PPS di Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang warga emas yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Gual Tinggi, Rantau Panjang hari ini. -Foto ROHANA ISMAIL

KOTA BHARU – Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan sebanyak 102 kes penyakit berjangkit melibatkan mangsa banjir yang berlindung di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini dalam tempoh dua minggu.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, jumlah itu dilaporkan berlaku bermula 23 November lalu sehingga semalam.

Menurutnya, sebanyak 69 kes penyakit-berjangkit dilaporkan di PPS di daerah Bachok, diikuti Pasir Mas (24 kes), Kota Bharu (5 kes) dan Tanah Merah (4 kes).

“Kes kumulatif bagi saluran pernafasan adalah sebanyak 68 kes, penyakit kulit pula 27 kes, masing-masing satu kes mata dan cirit birit selain lain-lain simptom dengan lima kes.

“Berdasarkan kajian, penyakit berjangkit mungkin berpunca daripada makanan atau air,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Kamera Badan Kepada 30 Pegawai Penguat Kuasa JKNK di Wisma Persekutuan Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zaini memberitahu, mangsa banjir yang tinggal di PPS dinasihatkan supaya menjaga kebersihan diri selain memastikan makanan dan minuman dalam keadaan selamat bagi mengelak sebarang penyakit berjangkit.

Katanya, JKNK juga membuka klinik bergerak dan kekal di PPS sebagai langkah awal untuk merawat mangsa banjir yang menghadapi masalah penyakit berjangkit atau kesihatan lain.

Mengulas mengenai penggunaan kamera badan untuk pegawai penguat kuasa JKNK, beliau berkata, langkah itu untuk memelihara integriti dan meningkatan imej jabatan itu ketika menjalankan tugas.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI