fbpx

Rombakan Kabinet: Hanya PM boleh jawab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nga Kor Ming (kanan) bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Bomba Komuniti PR1MA di Residensi Meru Ipoh hari ini. - Foto oleh ZULFACHRI ZULKIFLI/KOSMO!

IPOH – Desas-desus khabar angin menyatakan bakal berlakunya rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan dalam masa terdekat, hanya boleh dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, ini kerana Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh dalam menentukan siapa kekal dan siapa yang digugurkan dalam rombakan tersebut.

“Rombakan Kabinet adalah kuasa penuh dan budi bicara Perdana Menteri. Oleh kerana itu, hanya beliau yang mampu menjawab soalan itu (rombakan Kabinet),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Larian Perpaduan Aspirasi #PRIMAKita dan Bomba Komuniti di Residensi Meru di Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, tiada sebarang perbincangan dijalankan setakat ini berkaitan rombakan Kabinet dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

“Belum (perbincangan), ini memang di bawah kuasa mutlak Perdana Menteri,” ujar beliau.

Menerusi laporan media semalam, Anwar dikatakan memberi bayangan bahawa rombakan Kabinet Kerajaan Perpaduan akan dilakukan sebelum hujung tahun ini.

Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri ketika disoal oleh kanak-kanak berusia 12 tahun yang menunggunya bersama pengamal media selepas solat Jumaat di luar pekarangan Surau Putra Al-Amin Fasa 4, Putrajaya.

Reaksi Anwar itu selepas kanak-kanak terbabit, Akmal Afif Yaseer Arafat mengulangi soalan pengamal media berkaitan rombakan Kabinet. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI