I-Pace kenderaan elektrik mewah gaya tersendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JAGUAR ialah jenama kenderaan mewah daripada Jaguar Land Rover, sebuah pengeluar kereta multinasional British yang berpusat di Whitley, Coventry, Britain.

Namun, jenama itu sebenarnya dimiliki oleh syarikat India, Tata Motors sejak tahun 2008.

Penulis difahamkan, sebelum ini Jaguar Cars adalah syarikat yang bertanggungjawab untuk pengeluaran kereta Jaguar sehinggalah operasinya digabungkan sepenuhnya dengan Land Rover untuk membentuk Jaguar Land Rover pada tahun 2013.

Walaupun jenama mewah itu terkenal dengan kenderaan utiliti sukan (SUV), sedan yang besar dan kereta sport, jenama tersebut juga mempunyai kenderaan elektrik (EV) dengan nama I-Pace.

Seperti EV yang lain, perkara pertama yang ingin diketahui ialah berapa jauh kenderaan boleh bergerak. Jaguar I-Pace ini mampu bergerak sejauh 470 kilometer (km) mengikut WLTP.

Warna biru varian HSE kelihatan cukup mempesona.

Model ini dikuasakan dua motor elektrik di depan dan belakang serta dipadankan bersama bateri litium ion 90kWj.

Kuasa maksimum yang dihasilkan ialah 400hp dan tork tertingginya ialah 696Nm. Atas kertas, kelajuan maksimum model ini mencecah 200 kilometer sejam (km/j). Kadar pecutan dari pegun hingga 100km/j pula hanya dalam masa 4.8 saat.

Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) menawarkan varian Black LE dan HSE sebagai pilihan asas. Ketika pandu uji baru-baru ini penulis ditawarkan varian HSE.

Antara perbezaannya adalah HSE mempunyai sistem suspensi udara adaptif yang membenarkan Jaguar I-Pace untuk meredah air sedalam 500 milimeter (50 sentimeter).

EV pandu uji berwarna biru kelihatan mewah dan sporty dengan gaya yang tersendiri. Pada bahagian depan, jeriji grilnya diapit dengan Matrix LED bersama lampu siang signatur. But hadapannya dengan corong udara memberikan lebih aerodinamik ketika pemanduan.

Bahagian sisi diperkemas dengan rim bersaiz 20 inci. Pemegang pintu jenis masuk ke dalam menaikkan lagi elemen mewah pada kenderaan ini.

Masuk ke ruang kabin, perkara pertama yang menarik pandangan penulis ialah tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan.

Rekaan tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan yang nipis, namun cukup selesa.

Varian HSE ini menggunakan tempat duduk separa buket yang nampak nipis tetapi cukup selesa dan boleh dikawal 16 cara dengan fungsi panas dan sejuk.

Tempat duduk belakangnya yang boleh dilipat 40:20:40 juga dilengkapi pemanas tempat duduk. Bahagian dalaman diperkemas dengan kemasan hitam berkilat.

Sistem infotainmen jenis Pivi Pro dengan skrin sentuh 10 inci memuatkan sistem navigasi dan ketersambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Jaguar I-Pace ini turut dilengkapi sistem audio mewah jenama Meridian, pengecas telefon pintar tanpa wayar, Head-up Display dan Lower Touchscreen.

Antara ciri keselamatannya seperti Emergency Braking, Rear Camera, Driver Condition Monitor, Lane Keep Assist, Traffic Sign Recognition dan Adaptive Speed Limiter serta Driver Assist Pack.

Kesimpulannya, bagi penulis, EV ini hadir dengan gaya tersendiri. Rekaan luarannya tidak terlalu futuristik seperti beberapa EV lain.

Namun, rekaan menonjol dengan kemasan yang nampak mewah dan sporty seperti lubang angin pada but hadapan mirip sebuah supercar.

Rekaan yang dihasilkan dengan kemampuan meredah air setinggi 50sm boleh dimanfaatkan pada saat-saat kecemasan misalnya kala musim hujan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN