GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memberitahu sebanyak enam kes kematian dan satu kecederaan direkodkan dalam tempoh tiga tahun yang disebabkan oleh serangan harimau belang di Kelantan.
Kes pertama berlaku di Pos Bihai pada 5 Julai 2021 melibatkan seekor harimau belang betina (Syamilla Bihai) yang telah menyebabkan kecederaan parah seorang lelaki Orang Asli.
Kes pada 7 Januari tahun lepas pula melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli yang diserang pak belang.
Pada 5 Oktober lalu pula serangan harimau belang telah melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli di Pos Pasik.
Beberapa hari kemudian, seorang lelaki Indonesia dan seorang warga Myanmar maut diserang ketika berada di ladang diikuti seorang lelaki Orang Asli maut dibaham harimau di Pos Pasik di sini.
Rabu lalu, seorang penoreh getah warga Indonesia turut maut dibaham haiwan buas itu di Kampung Kuala Tol, di sini.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, orang ramai diminta melaporkan kepada mereka jika mengesan kehadiran harimau.
Katanya, operasi pemantauan dan kawalan berkenaan aduan penduduk berkenaan harimau belang yang berkeliaran di kawasan penempatan mereka akan segera dilakukan.
“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan hidupan liar perlu disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui talian hotline Perhilitan, 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman web www.wildlife.gov.my,” katanya.














