fbpx

‘Benda itu di mana-mana, sampai bila mahu hidup begini’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD ILHAM (dua dari kiri) menunjukkan lalat yang memenuhi kertas berpelekat di warung makanan di Kampung Seri Cheeding, Kuala Langat semalam.

KUALA LANGAT – Kehidupan 3,000 penduduk Kampung Seri Cheeding di sini, terus sengsara tanpa penyelesaian hampir dua dekad lalu selepas lokasi tersebut ‘diserang’ lalat.

Kacau ganggu lalat itu berlaku daripada enam buah pusat ternakan ayam yang ‘mengepung’ kampung berkenaan sehingga menjejaskan aktiviti harian termasuk pengusaha kedai makan.

Menurut Pengerusi Persatuan Anak Kampung Seri Cheeding, Muhamad Ilham Ahmad, 51, kesulitan kerap berlaku setiap kali penternak mengeluarkan ke­semua ayam mereka untuk dipasarkan.

“Semasa tempoh pembersihan reban itu, lalat dari kawasan penternakan akan mula berterbangan dan mengganggu penduduk kampung.

“Boleh lihat sendiri berapa lalat terperangkap dalam pelekat di warung makan ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Jelas Muhamad Ilham, berdasarkan aduan penduduk terpaksa menutup semua tingkap dan pintu bagi mengge­lakkan lalat menghinggapi makanan.

Tambahnya, jarak pusat ternakan tersebut hanya sejauh 150 meter dari kediaman penduduk.

“Kalau ikut Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam (GPP Lantera) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) tahun lalu mengkehendaki zon
penampan adalah sejauh 200 meter.

“Laporan pernah dibuat tetapi tindakan dari semasa ke semasa tidak dilakukan pihak berkuasa.

Sementara itu, seorang penduduk dikenali Husin, 50, mahu tindakan segera demi keselesaan hidup mereka selepas hampir 20 tahun hidup dalam kesengsaraan dikerumuni lalat.

“Sampai bila kami hendak hidup seperti ini. Setiap kali pusingan ayam kami semua terpaksa ‘bertempur’ setiap hari dengan lalat.

“Peraturan sudah ada, namun tidak mahu dipatuhi dan yang menjadi mangsa adalah penduduk yang sudah lama menetap di sini,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI