fbpx

Rindu nak menyanyi, Mila Jirin masih pujuk suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MILA kini dalam usaha memujuk suaminya untuk membenarkan dirinya kembali aktif menyanyi.

SHAH ALAM – “Saya sedang berusaha pujuk suami.”

Minat yang terlalu mendalam terhadap bidang seni membuatkan penyanyi Mila Jirin tidak pernah berputus asa memujuk suaminya, Isz Mustapha untuk membenarkannya kembali aktif ke pentas nyanyian.

Menurut Mila atau nama penuhnya Noorsyarmilla Jirin, 35, suaminya sebelum ini memintanya untuk ‘berhenti’ daripada dunia seni bagi memberi fokus terhadap keluarga dan perniagaan yang diusahakan bersama-sama.

“Sebagai seorang yang berdarah seni, saya memang nak sangat teruskan kerjaya nyanyian. Hendak dodoi anak dan dalam tandas pun menyanyi.

“Cuma sekarang masih dalam usaha tetapi nampak gayanya dia sudah mula memberi sedikit peluang.

“Dia pesan saya perlu seimbangkan tiga perkara iaitu tugas sebagai majikan, ibu dan penyanyi. Insya-Allah doakan saya sebab rindu sangat nak menyanyi,” katanya kepada Kosmo! Online selepas ditemui pada majlis penyerahan zakat kepada golongan selebriti di sini, semalam.

Berkongsi lanjut, kehidupan sebagai wanita berstatus ibu dan perlu memberi fokus kepada seorang cahaya mata lelaki merupakan antara punca utama suaminya menghalang untuk terus aktif menyanyi sebelum ini.

“Sebelum ini anak saya masih kecil dan menyusu sehingga umur empat tahun.

“Suami juga risau jika saya tidak boleh beri fokus terhadap kerja. Dia juga tidak izinlan jika saya perlu ke lokasi yang jauh untuk buat persembahan bagi mengekang daripada berlaku sesuatu tidak elok.

“Jadi, sebagai seorang isteri, perlulah taat namun syukur sekarang dia semakin tunjukkan sokongan setiap kali saya menyanyi pada majlis perkahwinan di premis kami,” tuturnya yang tidak mengingati judul single terakhirnya.

Juara Akademi Fantasia musim kelima itu berkata, dia juga dalam usaha mencari komposer untuk menghasilkan lagu buatnya satu hari nanti.

“Memang nak tetapi tidak pasti lagi. Saya ada juga bertanya kepada rakan seperjuangan iaitu Akim dan Stacy untuk minta lagu.

“Saya suka sangat karya mereka tetapi semuanya bergantung kepada rezeki dan hasil pujukan,” ujarnya.

Pada majlis sama, Mila turut membayar zakat perniagaan dan pendapatan berjumlah RM365,268.73 kepada Lembaga Zakat Selangor.

Insiatif tersebut adalah bagi mendekati dan menyalurkan zakat kepada golongan selebriti tanah air yang hilang punca pendapatan kerana tiada tawaran lakonan mahupun nyanyian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI