fbpx

Kanak-kanak turut tidak terlepas jangkitan hepatitis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Virus hepatitis boleh menjangkiti kanak-kanak juga.- GAMBAR HIASAN

HEPATITIS merupakan keradangan hati yang boleh berlaku disebabkan pelbagai faktor, antaranya virus berjangkit atau ejen tidak berjangkit.

Virus hepatitis adalah penyebab hepatitis paling lazim di dunia, namun faktor jangkitan lain seperti pengambilan ubat-ubatan, toksin (alkohol), hati berlemak atau penyakit autoimun boleh menjadi punca penyakit ini.

Pakar Perunding Gastroenterologi dan Hepatologi Pediatrik di Pusat Perubatan Sunway, Dr. Ong Sik Yong berkata, terdapat lima jenis virus hepatitis iaitu hepatitis A, B, C, D, dan E.

“Kesemua virus ini boleh menyebabkan hepatitis, tetapi cara transmisinya adalah berbeza, sekali gus membezakan kaedah pencegahan.

“Malah, kanak-kanak tidak terlepas daripada dijangkiti virus ini,” katanya.

Tambahnya, selain rawatan khusus, perubatan pada kanak-kanak juga tertumpu kepada menyokong keadaan imun pesakit untuk mengembalikan semula kesihatan mereka.

Selain itu, ubat-ubatan atau toksin yang dikenal pasti sebagai punca keradangan hati akan diberhentikan dengan serta-merta.

Dalam kebanyakan kes hepatitis akut, keadaan pesakit boleh pulih dengan rawatan sewajarnya.

Bagaimanapun, dalam keadaan jarang, penyakit ini boleh mengakibatkan kegagalan hati akut yang mampu mengancam nyawa dalam tempoh singkat.

Dr. Sik Yong

Dr. Sik Yong menjelaskan, hepatitis A tidak menyebabkan penyakit hati kronik.

Namun begitu, hepatitis B dan C boleh menyebabkan jangkitan kronik. Pesakit yang dijangkiti mungkin berisiko maut akibat sirosis hati serta kanser hati.

“Kanak-kanak yang menghidapi hepatitis memerlukan pemeriksaan perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit sebelum rawatan khusus boleh diberikan.

“Penyakit hati kronik tertentu seperti hepatitis autoimun mempunyai ubat-ubatan tertentu yang boleh digunakan untuk mengawal sistem imun terlalu aktif. Ini sekali gus menghalang serangan pada hati,” terangnya.

Bagi pesakit hepatitis akut, jangkitan virus mungkin akan menyebabkan kanak-kanak mengalami gejala seperti jaundis.

Gejala berkenaan merangkumi kulit dan mata menjadi kekuningan serta air kencing berwarna gelap.

Selain itu, pesakit akan berasa keletihan yang melampau, loya, muntah, sakit perut dan gejala-gejala lain seperti demam atau hilang selera makan.

Penyakit hepatitis kronik yang berpunca daripada jangkitan virus seperti hepatitis B atau C, hati berlemak, ubat-ubatan atau autoimun, pesakit selalunya tidak menunjukkan sebarang gejala sehingga peringkat parah.

Disebabkan itu, pesakit yang mengalami jangkitan kronik mempunyai risiko kematian akibat sirosis hati.

Ia adalah parut atau fibrosis pada hati yang disebabkan oleh kerosakan organ berkenaan dalam jangka masa panjang serta kanser hati.

Mengulas lanjut, Dr. Sik Yong berkata, hepatitis A dan E biasanya berjangkit apabila individu makan atau minum benda tercemar dengan najis individu dijangkiti hepatitis A.

“Hepatitis B, C dan D pula boleh dijangkiti melalui laluan parenteral iaitu pendedahan kepada darah, air mani atau cecair badan lain,” katanya.

PENYAKIT hepatitis pada kanak-kanak boleh dicegah melalui pengambilan
vaksin. – Gambar hiasan

Sementara itu, dengan kemajuan perubatan, penyakit virus hepatitis boleh dicegah dengan mengambil vaksinasi, terutamanya virus hepatitis A dan B.

Di Malaysia, program vaksinasi hepatitis B untuk kanak-kanak telah diperkenalkan pada tahun 1989.

Hasilnya, ia telah berjaya mengurangkan seroprevalens jangkitan dalam kalangan rakyat Malaysia kepada 0.01 peratus.

Dr. Sik Yong menjelaskan, semua bayi baru lahir disyorkan untuk menerima vaksinasi hepatitis B yang pertama sejurus selepas dilahirkan, sebaik-baiknya dalam tempoh 24 jam selepas kelahiran.

“Mereka juga perlu menerima dua dos penggalak vaksin untuk dilengkapkan sebelum berusia enam bulan.

“Selain itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengesyorkan dos penggalak bagi mereka yang telah melengkapkan jadual vaksinasi sebanyak tiga dos.

“Bagi ibu hamil yang merupakan pembawa hepatitis B, pengambilan ubat antiviral semasa kehamilan disyorkan untuk mencegah transmisi daripada ibu kepada anak,” jelasnya.

Tambahnya, vaksinasi hepatitis B dan imunoglobulin hepatitis B yang diberikan kepada bayi baru lahir oleh pembawa hepatitis B bagi membantu mengurangkan risiko transmisi virus secara signifikan.

Hepatitis A pula boleh dicegah dengan dua dos vaksin hepatitis A yang biasanya diberikan dari umur satu tahun ke atas.

Manakala, dos kedua diberikan sekurang-kurangnya enam bulan selepas dos pertama.

Buat masa ini, masih tiada vaksin untuk mencegah jangkitan hepatitis C, D dan E.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI