KUALA LUMPUR – Rata-rata graduan universiti dan institusi pengajian tinggi kini berada dalam dilema apabila masih ramai yang belum mendapat pekerjaan bersesuaian dengan ijazah meskipun memperoleh keputusan cemerlang ketika menuntut ilmu.
Mereka mengakui walaupun gembira pada hari konvokesyen yang menandakan sudah tamat pengajian, namun pada masa sama diselubungi rasa resah apabila perlu berdepan cabaran getir mencari kerja.
Lebih menyedihkan apabila pertanyaan mengenai kerjaya daripada keluarga dan rakan-rakan menambahkan lagi tekanan mereka. Mereka turut digelar ‘penganggur terhormat’ kerana majikan lebih memilih calon yang mempunyai pengalaman kerja.
Seorang bekas pelajar Universiti Al-Azhar, Mesir, Wan Mohd. Izzat Wan Aminordin, 23, berkata, dia cemburu melihat rakan-rakannya yang sudahpun mendapat kerja selepas menamatkan pengajian.
Pemilik Ijazah Syariah dan Undang-Undang itu berkata, dia berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan untuk mendapatkan kerja yang sesuai dengan ijazahnya itu walaupun dia merupakan pelajar cemerlang.
“Susah sebenarnya hendak habis belajar di Al-Azhar dan sebab itu saya bersyukur apabila dapat menamatkan pengajian. Saya cemburu apabila melihat rakan sudah mula mengukir nama dalam bidang pekerjaan.
“Saya harap dapat kerja segera tetapi menyedari setiap perjalanan memerlukan waktu. Saya yakin peluang saya akan tiba juga dan mempu memberikan impak positif dalam bidang diambil,” katanya kepada Kosmo!

selepas tamat mengajian. – GAMBAR HIASAN
Graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dengan Kepujian, Nur Syamimi Md. Yusup, 23, pula mendedahkan dia tertekan apabila sering ditanya perihal kerjaya oleh ibu bapa dan rakan-rakannya.
“Walaupun saya cemerlang ketika belajar, saya tertekan kerana belum dapat kerja sesuai dan dibebankan lagi dengan soalan-soalan mengenai kerjaya.
“Namun, saya fikir ia sebahagian daripada proses penting dalam mengejar cita-cita sebagai jurutera. Kadang-kadang saya anggap soalan itu sebagai tanda sokongan untuk pujuk hati,” katanya.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Penerbitan dari Universiti Teknologi Mara Shah Alam, Zulfan Zainodin, 23, kini bimbang dengan masa depannya.
“Tiga kali saya pergi temu duga tetapi mereka enggan terima saya atas alasan kurang pengalaman. Mereka mahukan calon yang ada pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun.
“Sekarang, saya bekerja di luar bidang pengajian untuk mendapatkan pengalaman,” katanya.
Bagi Siti Nor Aqilah Mohd. Nazir, 23, pula, dia hanya dipanggil sekali untuk temu duga walaupun telah menghantar lebih 10 permohonan mencari kerja.
“Rupanya bukan saya seorang tetapi ramai lagi rakan-rakan yang senasib. Saya telah guna pelbagai aplikasi memohon kerja, namun tiada satu pun yang mendapat maklum balas.
“Ia memberi gambaran bahawa dunia pekerjaan bukanlah seperti disangka ketika belajar dan segala-galanya memerlukan kesabaran yang tinggi apabila tidak dapat kerja yang sesuai dengan jurusan diambil,” katanya.
Bagi Tasya, 23, dia terpaksa menolak tawaran yang diterima kerana berlainan dengan skop kerja seperti dijanjikan ketika temu duga.
“Saya minta untuk kerja pemasaran tetapi apabila hendak mula kerja, mereka beritahu saya perlu mengutip derma pula,” katanya.
Situasi di atas bagi menggambarkan mengenai kenyataan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mendedahkan seramai 29,000 graduan masih belum mendapat kerja selepas enam bulan menamatkan pengajian pada 2022. Ia menunjukkan penurunan berbanding 2021 apabila seramai 41,467 graduan masih menganggur kerana tiada kerja yang bersesuaian dengan jurusan.














