fbpx

K2

Halalkah pendapatan daripada pekerjaan tanpa permit?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendapatan daripada kerja tanpa permit adalah halal. – Gambar hiasan

Saya ada satu permasalahan. Saya baru pulang dari Australia tahun lepas. Saya telah tinggal dan bekerja di sana selama lebih kurang lapan tahun. Hasil bekerja, saya telah mempunyai sejumlah simpanan wang yang agak besar. Pekerjaan yang saya lakukan di sana adalah pekerjaan halal, kebanyakannya dalam sektor pertanian. Kemusykilan saya sekarang, apakah status wang hasil bekerja di sana itu halal untuk saya gunakan kerana bekerja tanpa permit kerja yang sah (illegal). Saya masuk dengan visa melancong tetapi akhirnya bekerja tanpa permit kerja. Bolehkah saya gunakan untuk kegunaan harian, bina rumah, sedekah, umrah dan sebagainya? Perlukah saya membayar zakat daripada simpanan tersebut?

JAWAPAN: Hukum asal sesuatu pekerjaan adalah harus dalam Islam kecuali jika ada dalil yang melarang. Isu ini jelas difahami melalui kaedah fiqh berikut:

Asal segala sesuatu dalam bidang muamalat adalah harus, sehingga adanya dalil yang menyanggah dan mengharamkannya.

Allah SWT mengharuskan segala bentuk pelaksanaan urusan dunia setelah kita menunaikan tanggungjawab solat melalui firmannya: Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).[Surah al-Jumu’ah: 10]

Hukum hasil pendapatan atau upah daripada pekerjaan yang halal seperti bekerja sebagai staf di sektor pertanian adalah harus dan halal, boleh diambil dan menggunakannya. Terdapat banyak hadis Nabi SAW yang menjelaskan tentang keharusan mengambil upah daripada pekerjaan yang halal. Bahkan Nabi SAW sendiri pernah membayar upah kepada sahabat yang memberikan perkhidmatan membekam baginda SAW. Daripada Ibnu Abbas, beliau berkata;
Nabi SAW mendapatkan khidmat bekam dan membayar upahnya kepada tukang bekam.[Sahih al-Bukhari no. 2279]

Diterangkan dalam Syarah Qawaid Fiqhiyyah seperti berikut;
“Setiap yang diharamkan agama, adalah tidak diharuskan mengambil dan menggunakannya”.

Kaedah di atas dapat difahami secara Mafhum Mukhalafah (maksud sebaliknya) bahawa setiap perkara yang harus diterima (seperti upah dari pekerjaan yang halal) adalah harus pula menggunakannya. [lihat; Ahmad Zarqa Syarah al-Qawaid al-fiqhiyyah, hlm. 218]

Disebabkan terlalu luas cakupan perkara yang harus, maka konsep taqyid al-mubah boleh dilaksanakan oleh pemerintah sesebuah negara bagi menjamin kehidupan sosial orang lain yang hidup bersama akan terpelihara dan dihormati. Oleh itu akan ada tindakan yang diharamkan atau diwajibkan oleh pemerintah atau dikenakan syarat tertentu, walaupun hukum asalnya adalah harus. Hal ini adalah bertepatan dengan kaedah;

“Diharuskan kepada pemerintah menetapkan sebarang syarat kepada perkara yang diharuskan”.

Walaupun pemerintah berhak mengehadkan perkara-perkara yang pada asalnya adalah harus, namun ia tidak boleh dilakukan dengan seenaknya, syarat yang dikenakan oleh pemerintah mestilah atas dasar maslahat kepada warga. Pemerintah wajiblah terikat dengan Kaedah fiqh berikut:
Tindakan pemerintah terhadap rakyat itu hendaklah berdasarkan kepada pertimbangan maslahat (dan mafsadah).

Berkata al-Imam Syatibi;”Bahawasanya hikmah pensyariatan adalah atas dasar maslahat kepada manusia”. [Lihat; al-Syatibi al-Muafaqat jld 2 hlm. 538]

Arahan pihak pemerintah ini sebenarnya selari dengan peringatan daripada Rasulullah SAW sendiri iaitu tidak membenarkan apa jua gangguan kepada orang ramai.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Samit. Kata beliau:

أَ“Sesungguhnya Rasulullah SAW telah menetapkan bahawa tidak boleh memudaratkan (orang lain) dan tidak boleh membalas mudarat (dengan mudarat).”[Sunan Ibnu Majah, no.2341]

Kesimpulannya, berdasarkan huraian di atas dan persoalan yang diajukan, dapat disimpulkan sebagaimana berikut;

Hasil pendapatan daripada pekerjaan tanpa permit kerja yang sah adalah halal selama mana pekerjaan yang dilaksanakan itu adalah halal, dan tidak melibatkan penipuan atau kezaliman ke atas majikan.
Harus menggunakan hasil pendapatan itu untuk kegunaan yang dibenarkan syarak seperti membina rumah, menunaikan umrah, bersedekah dan sebagainya serta wajiblah membayar zakat simpanan wang tersebut apabila cukup haul dan sampai nisabnya.

Mentaati arahan pemerintah (bekerja dengan permit yang sah) adalah wajib jika arahan tersebut mempunyai maslahat yang munasabah, berkemungkinan besar larangan bekerja itu atas faktor keselamatan kepada negara, Namun kewajipan ini tidaklah sampai menjejaskan status halalnya wang hasil pekerjaan tersebut.
Semoga Allah mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam melaksanakan taklif dan segala titah perintah-Nya dan menjauhi setiap tegahan-Nya.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI