fbpx

‘Terpulang jika Aman Palestin nak ambil tindakan undang-undang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam Baki

PETALING JAYA – Siasatan yang dijalankan terhadap pertubuhan amal milik Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) dan beberapa entiti syarikat lain dilakukan secara profesional dan adil.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dijalankan tanpa sebarang niat jahat terhadap mana-mana pihak.

Ujarnya, terpulang kepada mana-mana pihak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasa ada keperluan untuk berbuat demikian.

“SPRM bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah justifikasi mengapa pembekuan aset dibuat.

“Tindakan pembekuan aset bagi membantu siasatan adalah berdasarkan Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang.

“Ia adalah tindakan yang biasa dijalankan dalam mana-mana siasatan sekiranya ada keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi, SPRM telah dipertanggungjawab dan diamanahkan untuk menyiasat dengan adil dan tegas sebarang isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

“Terutamanya kes berkepentingan awam yang melibatkan ketirisan dana,” katanya.

Semalam, Aman Palestin memberi tempoh tiga hari kepada SPRM untuk menyahbekukan akaunnya yang dibekukan sejak minggu lalu.

Peguam mewakili Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali, berkata sekiranya agensi penguat kuasa itu gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang akan diambil.

“Aman Palestin telah mengutus surat kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM serta Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) SPRM, hari ini, memberi notis bawah Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFAPUAA) 2001 untuk perintah pembekuan ini dibatalkan dan atau diubah,” katanya pada sidang media, di sini, malam semalam.

Terdahulu, SPRM membekukan sebanyak 41 akaun bank bernilai RM15.86 juta milik Aman Palestin dan beberapa entiti syarikat lain.

SPRM dalam kenyataan berkata, tindakan berkenaan diambil ekoran terdapat dakwaan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai yang telah dijalankan sejak 17 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI