fbpx

Saman fitnah: Siti Nordiana hilang suara, beri keterangan esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Nordiana dan peguamnya semasa hadir pada prosiding kes saman fitnah di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Nordiana Alias akan memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini esok dalam kes saman terhadap lima sekawan atas dakwaan memfitnahnya di  Instagram dua tahun lalu.

Siti Nordiana sepatutnya memberi keterangan hari ini, namun ditangguhkan selepas pihak-pihak dimaklumkan bahawa beliau ‘hilang suara’ untuk bertutur.

Terdahulu, peguam Abang Azlan Abang Ariffin yang mewakili Siti Nordiana, 39, memberitahu, anak guamnya mengalami kesukaran untuk bercakap dan mendapat cuti sakit daripada hospital kerajaan hari ini dan bersedia untuk memberi keterangan esok.

“Siti Nordiana yang merupakan saksi terakhir pihak plaintif sepatutnya beri keterangan hari ini, namun mahkamah membenarkan penangguhan sehingga esok,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman pihak-pihak Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan menetapkan esok untuk Siti Nordiana berbuat demikian.

Terdahulu, semasa prosiding awal, mahkamah selesai mendengar keterangan ejen penjenamaan selebriti yang pernah berkolaborasi dengan Siti Nordiana dalam beberapa projek.

Pengarah G. Talent Management Sdn. Bhd., A. Geetharani, 39, berkata, Siti Nordiana dikategorikan sebagai selebriti kelas `A’ dan terlibat dalam tiga projek komersial sebagai duta yang dikendalikan oleh syarikatnya.

Dalam keterangannya, saksi berkata, pernah berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp dengan pengurus penyanyi itu, Mohammad Al Anas Osman berhubung Live Instagram yang mengaitkan nama artis berkenaan.

Ujar Geetharani, selaku selebriti kelas `A’ yang berkolaborasi dengan beberapa jenama yang menajanya, beliau mengambil berat untuk menjaga reputasi syarikat dan jenama yang melibatkan pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Saya tidak mahu sebarang berita buruk atau reputasi selebriti yang kami bekerjasama memberi kesan kepada syarikat dan pihak lain.

“Sebarang berita buruk akan menjejaskan peluang selebriti itu untuk memperbaharui kontrak atau mendapat kontrak lain,” ujarnya dalam pernyataan saksi.

Pada perbicaraan 5 Oktober lalu, Mohammad Al Anas memberitahu, penyanyi dan pelakon itu kehilangan kontrak pengiklanan sebagai duta tiga buah syarikat komersial ekoran siaran langsung dalam laman Instagram yang memburukkan namanya.

Pengurus artis itu berkata, kontrak dengan sebuah syarikat komestik itu dibatalkan manakala dua lagi daripada syarikat luar negara, tidak disambung.

Ujar beliau, surat pembatalan kontrak bertarikh November 2020 diterima selepas pihaknya menyerahkan ikatan dokumen pada hari yang sama saman difailkan terhadap lima defendan.

“Terma-terma dalam kontrak menghendaki personaliti sentiasa berkelakuan baik dan sebarang perlanggaran akan memberi kesan buruk jangka panjang. Syarat am kontrak meletakkan personaliti tajaan mereka tidak mempunyai isu kontroversi,” ujarnya.

Penyanyi itu yang lebih dikenali sebagai Nana menyaman lima defendan dan menuntut RM2.5 juta atas dakwaan memfitnah ketika siaran langsung (Live) dalam Instagram pada Julai 2021.

Lima defendan itu ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI