fbpx

Bayi 7 bulan rentung: ‘Bermainlah di syurga sana princess’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar terakhir yang dimuat naik oleh ibu Wan Sabeena di status Whatsappnya sebelum kejadian kemalangan tersebut.

PETALING JAYA – “Bermainlah di syurga sana ‘princess’.”

Itulah antara komen ditinggalkan orang ramai pada gambar terakhir Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat berusia tujuh bulan yang dirakam sebelum dia terbabit dalam kemalangan semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan rentung selepas kereta dinaiki terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Gua Musang-Kuala Krai.

Gambar itu dimuat naik ibunya, Nur Hafisah Razmi, 25, menerusi status WhatsAppnya sebelum dikongsi semula ibu saudaranya di akaun TikTok @muyaaarosdi_.

“Gambar terakhir ibu awak ‘update’ (kemas kini) status. Sedekahkan Al Fatihah untuk anak saudara saya Wan Sabeena Arisya yang meninggal di tempat kejadian. Bermainlah di syurga sana ‘princess’,” tulisnya di ruangan kapsyen.

Sementara itu, wanita tersebut turut mendoakan agar keajaiban berlaku kepada abang iparnya, Wan Shahrizat Azwan Wan Shahril, 28, juga bapa bayi berkenaan yang sedang bertarung nyawa akibat melecur seluruh badan.

“Untuk abang ipar, semoga ada keajaiban dari-Nya. Allahuakbar ya Allah bangunlah Angoh, semua ada tunggu Angoh ni, angoh kuat,” tulisnya.

Tinjauan di ruangan komen mendapati, ramai yang memuji kecomelan bayi itu serta mendoakan agar Wan Sabeena dapat ‘berehat’ selama-lamanya di syurga abadi.

“Anak sulung pula. Allahuakbar…anak syurga nanti jangan lupa tarik ibu ayah sekali ya ke syurga,” komen Hana.

“Allah cantiknya awak sayang. Syurga buat mu sayang, Al Fatihah untuk anak syurga ni,” komen Wawa.

Setakat ini, keadaan bapa bayi berkenaan dilaporkan masih kritikal dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ), Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, Wan Sharizat masih tidak sedarkan diri selepas dipindahkan ke HRPZ II semalam.

“Mangsa yang bekerja di kedai barangan plastik di Kampung Sireh, Kota Bharu ketika ini menggunakan alat bantuan pernafasan untuk bernafas.

“Isterinya, Nur Hafisah mengalami luka pada kepala, muka dan kedua-dua belah kaki masih dirawat di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Semalam dilaporkan perjalanan pulang secara berkonvoi bersama keluarga dari Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila seorang daripadanya yang juga bayi perempuan berusia tujuh bulan maut dalam kemalangan itu pada 4.40 pagi semalam.

Mangsa, Wan Sabeena Arisha Wan Shahrizat ditemukan rentung berhampiran kenderaan jenis Honda Jazz manakala pemandu yang juga bapa bayi berkenaan cedera parah akibat melecur seluruh tubuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI