fbpx

Tuah Kayshita gadis cashier stesen minyak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kayshita (tiga dari kanan) bersama rakan-rakan sekerja di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Sungai Bakap, Pulau Pinang.

MELAKUKAN kerja sambilan bagi menambah duit poket sering kali dilakukan oleh pelajar ketika sedang menuntut di menara gading.

Malah, ramai yang berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang meskipun terkejar-kejar antara komitmen belajar dan bekerja.

Begitu juga dengan seorang individu yang menggunakan akaun Kaysh di TikTok yang tular baru-baru ini.

Gadis berketurunan India itu gemar berkongsi pengalaman belajarnya sambil bekerja sebagai cashier (juruwang) di sebuah stesen minyak.

Memulakan bicara, gadis berusia 24 tahun itu memberitahu, pada asalnya, kerja sambilan di sebuah stesen minyak di Lebuh Raya Sungai Bakap di Pulau Pinang dilakukan bagi mengisi masa lapang.

“Sebelum Covid-19 melanda, saya seorang pelajar yang sangat aktif di universiti dan merupakan ahli Jawatankuasa Penginapan Siswa di asrama.

“Saya dengan kumpulan hampir setiap minggu akan ada program.

“Jadi, memang selalu sibuk antara pengajian dan aktiviti,” katanya kepada iGen.

Pun begitu, apabila Perintah Kawalan Pergerakan bermula, dia mengakui terasa sunyi lebih-lebih lagi pada Jun 2020 apabila pihak universiti membuat keputusan untuk mengadakan pengajian semester secara online sepenuhnya.

“Habis sahaja sesi pada Julai, saya terus cari kerja sambilan sebab sudah bosan duduk rumah.

“Daripada situ, saya mula kenal ramai orang dan semuanya jadi kawan.

“Semasa semester baharu bermula, saya minta kebenaran daripada keluarga untuk sambung kerja secara sambilan sebab bosan di rumah.

“Kelas online biasanya bermula pukul 8.30 pagi sampai 2.30 petang.

“Jadi, lepas waktu itu memang rasa bosan dan saya bekerja bagi mengisi masa lapang,” katanya.

KAYSHITA ketika ini meneruskan pengajian secara sambilan di peringkat sarjana.

Tambahan pula, rakan sekerja Kayshita Naidu atau mesra disapa Kayshita itu sangat baik serta sering memberi sokongan padu.

Katanya, mereka juga selalu membantu ketika menyiapkan tugasan atau kuiz online.

“Mereka sudah jadi macam rakan sekelas dan sering berkongsi pengalaman membuat tugasan universiti termasuk kuiz dan tutorial.

“Disebabkan itu, saya tidak rasa sunyi sepanjang pengajian secara online,” tuturnya.

Untuk makluman, ketika itu, Kayshita sedang menghabiskan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah.

Meskipun gembira dengan kehidupan yang sibuk seperti itu, dia turut mengakui berdepan tekanan.

Mana tidaknya, di samping menghadiri kelas online, dia perlu menyiapkan tugasan yang diberi dan harus melakukan kerja tambahan apabila kekurangan staf.

“Tipulah kalau tiada rasa stres (tertekan) sebab kadang-kadang tugasan berlambak dan kena kerja tambahan disebabkan staf tidak cukup.

“Namun, saya bersyukur team (kumpulan) sangat memahami.

“Mereka tidak pernah mendesak dan sangat memahami situasi saya sebagai seorang mahasiswa. Saya juga akan tolong apa yang mampu sebab saya anggap mereka seperti keluarga sendiri.

“Jadi, tertekan macam mana pun saya masih gembira bekerja,” ujarnya.

Paling menggembirakan dan tidak disangka-sangka, dia turut ditawarkan kerja tetap oleh syarikat berkenaan sebaik tamat pengajian dan menyarung jubah konvo baru-baru ini.

Jelas anak jati Pulau Pinang itu, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi kakitangan tetap berjawatan pengurus akaun di syarikat sama tempat dia bekerja semasa belajar sebelum ini.

Malah, tawaran sebagai pekerja tetap itu diterima sebelum dia melakukan latihan industri pada tahun lalu.

“Sejurus habis praktikal pada September tahun lalu, bos memberi tawaran sebagai pengurus akaun.

“Daripada juruwang dan kerani pentadbiran, sekarang jaga akaun pula.

“Bos pun banyak beri sokongan sejak zaman belajar seperti memberi cuti ketika musim peperiksaan dan memudahkan urusan lain.

“Ketika ini, saya diberi kepercayaan menjaga akaun tiga stesen minyak sambil melanjutkan pelajaran secara separuh masa di peringkat sarjana dalam jurusan sama,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI