fbpx

Beri laluan kepada final Piala Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JADUAL perlawanan Piala Dunia Remaja pada 8 Disember ini diubah lebih awal kerana tarikh bertembung dengan aksi final Piala Malaysia antara JDT dan Terengganu di Bukit Jalil.

KONFEDERASI Hoki Malaysia (MHC) terpaksa meminda jadual perlawanan Piala Dunia Hoki Remaja di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil kerana memberi laluan kepada final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 8 Disember ini.

Pada tarikh berkenaan, skuad remaja lelaki negara dijadualkan menentang Australia untuk aksi ketiga Kumpulan A pada pukul 8 malam tetapi bertembung de­ngan waktu perlawanan akhir melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu FC.

Disebabkan itu, MHC selaku penganjur kejohanan, tiada pilihan selain mengubah waktu per­lawanan lebih awal bagi mengelak kesesakan luar biasa sekiranya jadual perlawanan pada tarikh tersebut kekal seperti biasa.

Pengurus acara, Brian Fernandez berkata, pihaknya terpaksa melakukan pertukaran jadual itu selepas mendapat nasihat daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana dijangka hampir 100,000 penyokong akan membanjiri SNBJ untuk final Piala Malaysia.

“Jika tak ubah jadual, pasukan kena datang awal kira-kira tiga jam sebelum berlangsungnya perlawanan. Kalau itu berlaku, memang pasukan tak nak ­datang awal ke stadium. Mereka nak buat apa?

“Jadi atas nasihat PDRM, kami mengemukakan rayuan kepada FIH (Persekutuan Hoki Antarabangsa) memaklumkan kepada mereka berhubung situasi itu. FIH akhirnya bersetuju untuk mengubah jadual pada 8 Disember.

“Banyak jalan akan ditutup pada hari itu. Walaupun bas pa­sukan akan mempunyai polis pengiring, ia tetap sukar untuk tiba di stadium kerana seawal pukul 12 tengah hari lagi penyokong bola sepak biasanya sudah hadir ke stadium,” katanya pada sidang akhbar di Stadium Hoki Nasional semalam.

Mengikut jadual asal, empat perlawanan akan berlangsung pada 8 Disember membabitkan aksi terakhir Kumpulan A dan B dengan Malaysia menentang Australia pada pukul 8 malam diawalkan ke 2 petang.

Tiga lagi aksi lain pada tarikh itu juga diawalkan ke waktu baharu iaitu Afrika Selatan menentang Perancis (8 pagi), Jerman bertemu Mesir (10 pagi) dan Argentina berdepan Chile pada pukul 12 tengah hari.

Sebagai rekod, Young Tigers yang diletakkan sasaran ke suku akhir, akan bersaing dalam Kumpulan A bersama Argentina selaku juara bertahan, Australia dan Chile.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI