KEGHAIRAHAN rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di Thailand telah menjejaskan industri pelancongan negara termasuk di Langkawi, Kedah apabila kedatangan pelancong ke pulau peranginan itu dilaporkan semakin menyusut saban hari.
Impaknya, industri kedai makan dan kereta sewa di pulau legenda itu turut mengalami kerugian.
Malah, faktor harga makanan dan penginapan yang lebih murah di selatan Thailand turut menarik minat pelancong Malaysia memilih lokasi itu berbanding Langkawi.
Buktinya, sehingga bulan lalu, 3 juta pelancong Malaysia direkodkan memasuki Thailand khususnya untuk berkunjung ke Hatyai. Sebaliknya, pelancong Thailand yang direkodkan memasuki ke Malaysia pula adalah kira-kira 700,000 orang.
Bagi mengupas lebih lanjut mengenai trend yang sedang hangat diperkatakan itu, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI menemu bual ahli akademik di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara , Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Basri Rashid.
KOSMO! AHAD: Dianggarkan 3 juta rakyat Malaysia telah bercuti ke Thailand khususnya Hatyai dari awal tahun ini sehingga bulan lalu. Malangnya, jumlah pelancong Thailand ke negara ini adalah kira-kira 700,000 orang. Apakah interpretasi Prof. terhadap angka berkenaan?
BASRI: Ini jelas menunjukkan ketidakseimbangan pelancong di antara kedua-dua negara.
Persoalannya, kenapa ramai rakyat Malaysia berkunjung ke Thailand berbanding rakyat Thailand berkunjung ke Malaysia?
Kita perlu teliti faktor yang menyebabkan perkara ini berlaku. Pelancong akan berkunjung ke suatu destinasi jika ada yang menarik di sana atau sesuatu kelainan berbanding tempat lain.
Kos percutian juga boleh menjadi sebab utama terutama kepada mereka yang mementingkan kos perbelanjaan.
Sebagai seorang yang tinggal di kawasan sempadan Thailand, apakah faktor-faktor yang menjadi penarik kepada rakyat Malaysia berkunjung ke negara Gajah Putih itu terutamanya Hatyai dan Songkhla?
Secara umumnya ramai pengunjung Malaysia ke selatan Thailand untuk beberapa tujuan seperti menikmati makanan, melawat beberapa tempat menarik dan membeli barangan yang dianggap lebih murah berbanding di Malaysia.
Selain itu, terdapat juga tarikan berkaitan fasiliti hiburan dan riadah di kawasan berkenaan pada harga mampu dibayar semua.
Adakah tempat tarikan di Thailand dilihat lebih menarik berbanding di negara ini sehingga menyebabkan ramai sanggup berbaris panjang di pintu sempadan? Boleh nyatakan tempat-tempat menarik di Hatyai yang sering menjadi tumpuan rakyat Malaysia?
Berdasarkan komen rakan akademik di Thailand, mereka berpendapat ada beberapa tempat yang sering menjadi kunjungan ramai pelancong dari Malaysia.
Antara tempat menarik dikunjungi termasuklah Khlong Hae Floating Market, Central Festival, Kim Yong Market di Hatyai.
Manakala di sekitar Songkhla pula tempat tarikan yang menjadi tumpuan adalah seperti Samila Beach, Central Mosque, Songkhla Old Town dan Koh Yor.
Ada pihak beranggapan harga penginapan dan makanan yang murah, selain kemudahan pengangkutan menjadi sebab utama orang kita gemar bercuti ke Hatyai ketika musim cuti. Sejauh mana kebenaran kenyataan ini?
Pandangan bahawa percutian ke Hatyai lebih murah bergantung kepada dari mana pelancong Malaysia itu datang.
Jika mereka datang dari kawasan utara Semenanjung, perkara ini diakui oleh sebilangan besar pelancong berkenaan.
Kebanyakan mereka menyatakan kos seperti makanan, penginapan dan barangan tertentu adalah lebih lebih murah, walaupun ada mengakui bahawa nilai mata wang Malaysia tidak sekukuh dahulu.
Dari segi pengangkutan pula, ada yang menggunakan kenderaan sendiri untuk memudahkan pergerakan.
Bagi yang jauh dari sempadan, mereka perlu mengambil kira kos pengangkutan dan faktor masa untuk sampai ke destinasi.
Trend berkunjung ke Hatyai atau Thailand ini pastinya akan memberi dampak negatif termasuk pengaliran wang keluar. Selain itu, apakah dampak negatif yang bakal dihadapi negara jika fenomena ini berterusan dalam tempoh lama?
Kesan negatif selain dari pengaliran wang keluar berkemungkinan bermula dengan terjejasnya industri pelancongan tempatan terutama di destinasi yang ekonominya sangat bergantung kepada hasil pelancongan.
Apabila berkurangnya pengunjung, aktiviti pelancongan dan aktiviti ekonomi lain yang berkaitan pelancongan akan terjejas.
Ini seterusnya memberi impak kepada komuniti setempat yang bekerja dalam industri berkenaan seperti berkurangnya pendapatan atau lebih buruk lagi kehilangan pekerjaan jika berlakunya penutupan operasi perniagaan berteraskan pelancongan.
Secara umumnya masalah sosioekonomi berkemungkinan tercetus di destinasi berkenaan.
Pada pendapat Prof., adakah situasi yang berlaku di Hatyai ini sama seperti di Johor apabila ramai warga Singapura gemar menghabiskan cuti mereka di negeri berkenaan?
Situasi di Hatyai sedikit berbeza dengan keadaan di Johor Bahru kerana pelancong Malaysia ke Hatyai walaupun menyedari nilai mata wang Malaysia menyusut berbanding baht.
Mereka masih merasakan ada produk dan aktiviti pelancongan di sana masih murah dan berbaloi.
Namun, boleh dikatakan kesamaan situasi sempadan utara dan selatan adalah ‘food hunting’.
Ia menjadi antara agenda utama kebanyakan pelancong apabila membuat perjalanan lintas sempadan (cross border tourism).
Dalam usaha menarik pelancong Thailand ke negara ini terutamanya ke Kedah, Kelantan dan Perlis, apakah usaha yang boleh dilakukan oleh pihak berwajib kerana jumlah kehadiran mereka masih rendah ke negara ini?
Pada asasnya, sesebuah destinasi pelancongan perlu mempunyai daya penarik untuk membuatkan mereka memilih berkunjung ke negara ini.
Sesuatu yang boleh dijadikan faktor penarik perlu dibangunkan untuk memotivasikan mereka datang ke destinasi berkenaan.
Daya penarik adalah dalam bentuk semula jadi atau buatan manusia, tetapi ia haruslah mempunyai kelainan daripada tarikan yang berada di negara mereka.

Sebelum ini, ada pihak mengetengahkan isu harga makanan dan hotel yang mahal menjadi punca orang kurang bercuti ke Langkawi. Sebaliknya, mana-mana pulau peranginan pun harganya lebih mahal. Apakah pendapat Prof. mengenai isu ini?
Lazimnya, harga beberapa produk pelancongan di destinasi terkenal adalah lebih tinggi berbanding di tempat lain.
Selain itu, ia bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan.
Pada ketika musim percutian contohnya, permintaan menjadi lebih tinggi berbanding penawaran.
Jadi, berkemungkinan harga yang ditawarkan adalah lebih daripada biasa memandangkan permintaan tetap ada sepanjang musim berkenaan.
Namun, pengusaha pelancongan perlu beringat supaya berpada-pada dalam pengambilan untung sebegini.
Ini kerana, pelanggan akan menilai belian mereka sama ada berbaloi atau tidak. Ini memberi kesan kepada keputusan membuat belian semula.
Selain itu, pelanggan biasanya akan menyebarkan pengalaman mereka kepada orang lain sama ada secara langsung (word of mouth) atau di dalam internet seperti media sosial.
Pada pendapat Prof., apakah usaha-usaha yang difikirkan perlu diambil oleh kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia bercuti di dalam negara?
Pertama sekali, sesebuah destinasi pelancongan memerlukan beberapa elemen untuk memastikan pelancong mendapat nilai daripada kunjungan mereka.
Elemen-elemen ini termasuk iklan tempat menarik, akses yang mudah (pengangkutan dan perhubungan), kemudahan atau prasarana yang baik, penginapan sesuai serta aktiviti menarik.
Kesemua ini perlu disesuaikan dengan keperluan dan kehendak pelancong. Ia juga perlu dipelihara dari segi keupayaan dan kelancaran semasa pelancong berada di situ.
Antara faktor yang dapat menarik pengunjung adalah dengan mengadakan beberapa acara seperti festival, pameran dan pertunjukan yang sesuai di destinasi berkenaan.
Acara seperti Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) di Langkawi sering mendapat sambutan serta berjaya menarik pelancong berkunjung ke destinasi tersebut.
Secara keseluruhan, bagaimanakah Prof. melihat sektor pelancongan di negara ini? Kerajaan menyasarkan kehadiran 18 juta pelancong pada tahun ini. Adakah angka itu mampu dicapai dan ditingkatkan lagi pada masa depan?
Berdasarkan data semasa dan perancangan serta usaha dilaksanakan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, sasaran jumlah pelancong berkenaan tidak mustahil boleh tercapai.
Usaha promosi secara berterusan pihak berkaitan terutama pada era pasca Covid-19 boleh menerapkan dan mengembalikan minat pelancong untuk melawat destinasi menarik di dalam negara.
Selain itu, acara-acara yang boleh menarik pelancong perlu diadakan secara meluas di semua negeri agar kesan limpahan positif pelancongan dapat dinikmati para pengusaha dan komuniti setempat.
















