fbpx

Cub Prix: Afizi cari penamat terbaik bersama Pink Racing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFIZI berjaya mempamerkan prestasi positif di Batu Kawan apabila merekod catatan masa yang baik dalam kedua-dua sesi kelayakan semalam.

PELUMBA Tobaki Cilik Pink Racing, Afizi Supaat meletakkan sepenuh keyakinan untuk mencari penamat manis pada perlumbaan terakhir Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Stadium Batu Kawan hari ini.

Kata Afizi, dia menemui perasaan yang baik bersama jentera pada sesi kelayakan kategori CP150 sekali gus berharap mampu meloloskan diri untuk meraih penamat terbaik tanpa sebarang masalah pada perlumbaan sebenar.

Pada sesi kelayakan 1 A, Afizi mencatat masa 52.281 saat (s) untuk berada di kedudukan ke-10 terpantas, manakala pada kelayakan 2 A, dia terus memperbaiki catatan masa tersebut dengan menduduki tempat kesembilan terpantas 51.529s.

“Untuk perlumbaan minggu ini saya cuba buat lebih baik dan saya mahu bagi 100 peratus di Batu Kawan ini. Jika keadaan jentera lebih sempurna saya harap mampu meraih penamat lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya juga tidak tahu macam mana nasib saya tahun depan. Jadi, saya akan buat sehabis baik bersama pasukan pada perlumbaan terakhir ini.

“Pastinya semua pelumba ada impian nak ke podium dan saya kena lihat perlumbaan pada hari sebenar. Tetapi, sasaran saya adalah mahu tamatkan perlumbaan ini,” katanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, seorang lagi pelumba Pink Racing, Harith Farhan Baharin turut positif apabila mencatat masa di kedudukan sembilan terpantas dengan catatan masa 51.830 pada Kelayakan 2 dan Ahmad Afif Amran dari CKJ Racing terpantas dalam kedua–dua sesi kelayakan dengan catatan masa 50.523s.

Ketika ini, Afizi berada di kedudukan ke-18 keseluruhan selepas mengumpul 17 mata dan keputusan terbaiknya musim ini ialah menamatkan perlumbaan tempat kelima sewaktu perlumbaan Pusingan 4 di Litar Sepang (Selatan) pada Jun lalu, sementara Harith di kedudukan ke-20 dengan 12 mata.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI