fbpx

Lelaki langgar motosikal, himpit polis hingga cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

LUMUT – Seorang lelaki bertindak agresif memandu pikap dan melanggar sebuah motosikal sehingga meletup, selain cuba melanggar dan menghimpit seorang pegawai dan anggota polis bermotosikal sehingga cedera.

Difahamkan kejadian dilaporkan kira-kira pukul 5.30 petang semalam berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di Seri Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, seorang pegawai kanan polis berusia 34 tahun melihat suspek berusia 32 tahun itu memandu pikap dalam keadaan laju seterusnya melanggar sebuah motosikal.

“Suspek kemudian menyeret motosikal tersebut pada jarak antara 50 hingga 100 meter menyebabkan motosikal itu meletup dan terbakar,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian cuba menahan kenderaan itu, tetapi suspek cuba melanggar mereka, namun polis berjaya mengelaknya.

Jelasnya, polis kemudian menaiki motosikal bagi mengekori suspek yang memandu dalam keadaan berbahaya.

Beliau berkata, sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran sebuah pasar raya, pengadu kemudian mengarahkan suspek berhenti, namun lelaki itu menghimpit pegawai dan anggota polis sehingga terjatuh dan cedera.

Suspek disyaki kurang siuman berjaya ditahan di jalan belakang Stesen Bas Seri Manjung, manakala pikap miliknya dirampas, kira-kira pukul 7.30 malam tadi

Dalam pada itu, Mohamed Nordin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi terhadap kejadian itu sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Fariq Nazmi Mohd. Mustafa di talian 013-3317099. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI