fbpx

Laman Perak Sejahtera tarikan terkini di Taman Agro Teknologi Mardi Bagan Datuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (tengah) bergambar selepas menanam kelapa di Laman Perak Sejahtera di Mardi Bagan Datuk hari ini. - Foto AINSAFRE BIDIN

BAGAN DATUK – Laman Perak Sejahtera yang dibuka secara rasmi hari ini menjadi tarikan terkini di Taman Agro Teknologi Institut Penyelidikan dan Kemampuan Pertanian Malaysia (Mardi) di sini.

Majlis pembukaan laman yang menelan kos RM180,000 untuk dibina itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Saarani berkata, Laman Perak Sejahtera tersebut merupakan salah satu lokasi tumpuan bagi aktiviti pelancongan di daerah ini yang dijenamakan semula oleh kerajaan negeri Perak sebagai agropelancongan dan Bandar Maritim Wilayah Perak Selatan.

“Di Laman Perak Sejahter, pengunjung akan didedahkan mengenai produk-produk kelapa dan sampingan. Mardi Bagan Datuk merupakan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Kelapa (COE) dan juga dikenali sebagai Pusat Agropelancongan Kelapa atau Taman Agro Teknologi Mardi (TATM) Cocostourism.

“Antara tarikan utama di TATM ialah demo pendebungan berbantu bagi menghasilkan benih kelapa hibrid, demo inovasi penghasilan kelapa telur menggunakan pisau tanduk serta demo penghasilan minyak kelapa dara di kilang test bed.

“Turut menjadi tarikan ialah demo penghasilan cocopeat dan cocofiber di kilang sabut, jualan benih kelapa rendah, laman ternakan yang menempatkan kambing baka biri-biri jenis Barbados Blackbelly dan jualan benih kelapa hibrid,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pembinaan Laman Perak Sejahtera bermula pada 11 Julai lalu menggunakan peruntukan yang telah diluluskan bagi Projek Menaik Taraf TATM sebagai pusat pelancongan.

Beliau berkata, projek tersebut telah siap sepenuhnya pada bulan ini, dengan pembangunan Laman Perak Sejahtera berkenaan merupakan salah satu inisiatif di bawah Tahun Melawat Perak 2024.

Sementara itu, Pengarah Mardi negeri, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob berkata, Laman Perak Sejahtera dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang (Isnin-Khamis) dan 8 pagi hingga 12 tengah hari (Jumaat).

“Terdapat tiga pakej ditawarkan iaitu Pakej Santai yang mana harga tiket bagi kanak-kanak ialah RM5 dan dewasa RM10, manakala harga bagi Pakej Pembelajaran ialah RM10 (kanak-kanak) dan RM15 (dewasa).

“Harga tiket di bawah Pakej Pembelajaran dan Inovasi pula RM15 (kanak-kanak) dan RM20 (dewasa). Orang ramai yang berminat ke Laman Perak Sejahtera boleh datang terus ke Mardi Bagan Datuk namun digalakkan untuk menghubungi terlebih dahulu bagi memudahkan sebarang urusan berkaitan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI