PETALING JAYA – Seramai 2.7 juta pekerja asing yang bekerja di negara ini hanya membelanjakan antara 10 hingga 20 peratus sahaja daripada gaji mereka sebulan, dengan selebihnya dihantar pulang ke negara asal.
Timbalan Dekan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr. Anuar Shah Bali Mohamed berkata, daripada RM48 bilion setahun pendapatan yang dijana pekerja asing, hanya sekitar 10 hingga 20 peratus dibelanjakan dalam negara dan selebihnya dihantar pulang buat keluarga di kampung.
“Daripada 10 hingga 20 peratus itu, separuh daripadanya dibelanjakan untuk komuniti mereka sendiri dalam negara. Contohnya, berapa ramai orang asing jadi tauke, peniaga pasar, ada yang berniaga nasi lemak lagi, jadi mereka ini akan dahulukan komuniti sendiri untuk bantu bisnes mereka.
“Jadi, berapa sahaja wang itu dimanfaatkan untuk dalam negara, untuk dirasai rakyat tempatan? sepatutnya, jika wang itu dibelanja dalam jumlah yang besar untuk negara semula, ia boleh dimanfaatkan rakyat tempatan, dapat tingkat peluang pekerjaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Ujar beliau, pekerja asing kini dilihat sudah menguasai sebahagian besar ekonomi negara serta peluang pekerjaan yang sepatutnya diisi rakyat tempatan.
Namun katanya, golongan majikan masih menjadikan warga asing sebagai majoriti pekerja di syarikat mereka terutama dalam enam sektor pekerjaan seperti perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan pembantu rumah, pertanian dan perlombongan serta pengkuarian.

Jelas Anuar Shah, pekerja asing di negara ini seperti sudah dimanjakan apabila setiap tahun ada sahaja kuota kemasukan mereka diluluskan kerajaan sehingga Malaysia dikatakan ‘lubuk rezeki’.
Semalam, Kosmo! melaporkan Bank Negara Malaysia (BNM) mendedahkan, sebanyak RM28.5 bilion atau bersamaan RM73 juta sehari telah mengalir keluar sepanjang 2022 termasuk wang yang dikirimkan oleh pekeria warga asing kepada keluarga mereka.
Berita berkaitan: Kiriman RM28.5 bilion bukti Malaysia lubuk rezeki
Sementara itu, Pakar Ekonomi, Mohammad Noorizzuddin Nooh menyuarakan pendapat meminta Malaysia segera menghentikan kebergantungan terhadap pekerja asing.
“Dari tahun 1990-an lagi, Malaysia bergantung dengan pekerja asing untuk mengisi peluang pekerjaan di Malaysia. Maknanya sudah lebih 35 tahun kita percayakan hasil kerja orang luar.
“Saya yakin kemahiran orang tempatan jauh lebih baik daripada warga asing. Lihat sahaja, berapa banyak rumah yang dibuat oleh pekerja asing retak dalam tempoh yang pendek.
“Warga asing ini di negara asal mereka hanya pekebun tanpa kemahiran, tapi bila masuk Malaysia terus jadi kontraktor, mana kualiti mereka?” soalnya.
Berita berkaitan: Malaysia hilang RM28.5 bilion
Tambah beliau, apabila Malaysia terus bergantung secara berlebihan kepada pekerja asing ia boleh mencipta ketergantungan terhadap tenaga kerja asing dalam beberapa sektor.
“Jika terdapat ketergantungan yang berlebihan pada pekerja asing, ia boleh menghalang pembangunan tenaga kerja tempatan yang terlatih dan membatasi peluang pekerja tempatan untuk memperoleh pengalaman dan kemajuan kerjaya.
“Ketergantungan ini juga boleh menjadikan ekonomi rentan terhadap faktor luar, seperti perubahan dalam dasar imigresen atau keadaan ekonomi di negara asal pekerja,” ujarnya.














