fbpx

Konflik Palestin-Israel: Selatan Gaza sasaran Zionis seterusnya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar sorotan video pada 11 November lalu menunjukkan kereta kebal dan askar Israel berada di Semenanjung Gaza. – AFP

KHAN YOUNIS, Semenanjung Gaza – Tentera Israel menggugurkan risalah amaran kepada rakyat Palestin supaya me­ninggalkan beberapa kawasan di selatan Semenanjung Gaza, lapor laman berita trtworld kelmarin.

Ia merupakan isyarat bahawa tentera Israel akan meluaskan serangan ke kawasan di mana beratus-ratus ribu orang yang mematuhi arahan perpindahan Zionis sebelum ini, berkumpul di sebilangan pusat perlindungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kediaman saudara mara mereka di selatan Gaza.

Risalah itu digugurkan di kawasan selatan bandar Khan Younis dan memberi amaran kepada orang awam supaya berpindah. Menurutnya, sesiapa sahaja yang berada di kawasan pejuang Hamas ‘akan meletakkan nyawa mereka dalam bahaya’.

Dua pemberita yang tinggal di timur Khan Younis mengesahkan kehadiran risalah tersebut, manakala tentera Zionis enggan mengulas mengenainya.

Bagaimanapun, risalah serupa digugurkan di utara Semenanjung Gaza beberapa minggu sebelum Israel melancarkan serangan darat.

“Operasi darat akhirnya akan merangkumi kedua-dua utara dan selatan Gaza. Kami akan menyerang Hamas di mana sahaja mereka berada,” kata Menteri Pertahanan Yoav Gallant pada Rabu lepas.

Sementara itu, askar-askar Israel berterusan menggeledah Hospital Al-Shifa di utara Gaza dalam serbuan yang bermula Rabu lepas. Mereka mempamerkan senjata yang didakwa disembunyikan di sebuah bangunan hospital berkenaan.

Tentera Israel bagaimanapun gagal menemui sebarang bukti Hospital Al-Shifa menjadi markas Hamas seperti didakwa oleh Rejim Zionis.

Hamas dan kakitangan Al-Shifa yang merupakan hospital terbesar di Semenanjung Gaza, menafikan tuduhan Israel.

Tindakan meluaskan serangan darat ke selatan Gaza di mana Israel melancarkan serangan udara pada setiap hari, akan memburukkan lagi situasi yang sudah amat buruk termasuk krisis kemanusiaan di Gaza.

Lebih 1.5 juta orang menjadi pelarian di tanah air sendiri di Gaza dengan kebanyakan mereka melarikan diri ke selatan di mana makanan, air dan bekalan elektrik hampir kehabisan.

Konflik di wilayah Gaza yang menjadi sasaran pengeboman dan kepungan Israel sejak 7 Oktober lalu, bermula apabila kumpulan Hamas melancarkan Operasi Taufan Al-Aqsa dengan melancarkan pencerobohan dan roket ke selatan Israel.

Serangan mengejut itu sebagai membalas tindakan Rejim Zionis menyerbu Masjid Al-Aqsa dan keganasan yang semakin meningkat oleh peneroka haram Yahudi terhadap warga Palestin.

Lebih 11,500 penduduk Palestin terbunuh, dua pertiga daripada mereka ialah wanita dan kanak-kanak, demikian menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. Seramai 2,700 lagi dilaporkan hilang dengan sebahagian besar mangsa dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.

Perang kali ini turut mencetuskan ketegangan di wilayah Tebing Barat yang dijajah Israel. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI