fbpx

Alumni UniMAP berpisah tiada

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAIB Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Zaliman Sauli (empat dari kanan) merasmikan Student Lounge hasil sumbangan alumni UniMAP di Fakulti Kejuruteraan Teknologi Kimia, Kampus Jejawi, Arau baru-baru ini.

ARAU – Bagi menyemarakkan lagi semangat dalam kalangan alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), program Tautan Kasih Alumni dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan antara alumni dan universiti sempena sambutan Festival Konvokesyen (Festkon) UniMAP 2023 kali ini.

Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UniMAP, Dr. Khairul Anwar berkata, program itu dilihat sebagai satu medium untuk membina kerjasama serta ja­ringan strategik antara alumni dengan alma mater pada masa hadapan.

“Program ini turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Alumni UniMAP, Koperasi Alumni UniMAP, fakulti-fakulti dan Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP. Pelbagai program telah di­susun bagi menjayakan Alumni Homecoming dengan tema ‘Mai Pakat Balik UniMAP’ pada kali ini.

“Penganjuran ini juga menjadi tarikan kepada alumni UniMAP untuk pulang ke kampus dan melihat sendiri perkembangan universiti tercinta di samping mengikuti pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh Festkon UniMAP 2023,” katanya di sini semalam.

Kata beliau, program itu juga dapat merapatkan lagi ukhuwah sesama alumni universiti ber­kenaan.

Bagi Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR) UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Irwan Yusoff pula, beliau membuka ruang sepenuhnya untuk alumni UniMAP tampil membantu PSR untuk menyediakan dan menambah baik prasarana sukan untuk kegunaan para pelajar bagi memastikan fasiliti sukan berada dalam keadaan terbaik.

Dalam pada itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof Dr. Mohd. Mustafa Al Bakri Abdullah berkata, alumni UniMAP boleh memberi sumbangan kepada universiti melalui sumbangan kewangan, mentorship, bantuan kerjaya, penyediaan sumber daya, pe­nyertaan dalam acara alumni serta jaringan alumni dan sumbangan kepada projek-projek tertentu universiti.

“UniMAP telah mengadakan teras utama kepada kemenjadian mahasiswa UniMAP melalui teras keterlibatan dan derma alumni dan pada masa sama ia membuktikan komitmen UniMAP serta penghormatan kepada bekas mahasiswa, seterusnya menjadi pemangkin kepada alumni untuk menyumbang kembali kepada UniMAP terutama daripada segi kepakaran.

“Alumni perlu ada rasa sayang pada universiti yang mana merupakan tempat untuk menimba ilmu dan mencari identiti diri. Elak untuk menghukum kekurangan yang ada pada universiti itu dan mereka boleh menggunakan platform sepatutnya untuk berbincang atau berdialog ke arah penambahbaikan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI