BOS MOLLY sering mengenakan baju kelawar dan memegang lolipop ketika dalam media sosial. Karakter itu diinspirasikan daripada watak seorang wanita dalam filem Kung Fu Hustle.

Interpretasi watak ‘tuan rumah’ banyak aset rendah diri Bos Molly

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMAKAI baju kelawar, berselipar jamban, memegang lolipop sambil meletakkan penggulung rambut pada kepala ketika live di TikTok membuatkan sesiapa sahaja terhibur melihat gelagatnya.

Itu cara bersahaja dan signatur diri Cha Yeh Chain, 33, atau lebih dikenali sebagai Bos Molly dalam kalangan pengikutnya di media sosial.

Sering berkongsi mengenai ilmu dan hal-hal berkenaan hartanah sejak dua tahun lalu, pengikutnya di TikTok telah mencecah lebih 850,000 pengikut serta 1.34 juta di semua platform media sosial.

Bukan sekadar pempengaruh terkenal, Bos Molly yang merupakan pengasas sebuah syarikat hartanah boleh disifatkan individu yang cukup berjaya dalam bidangnya.

Dia berjaya menerima beberapa anugerah menerusi kerjaya diceburinya daripada beberapa pihak di negara ini.

Antara pencapaian dan anugerah yang pernah diterima bagi diri dan syarikatnya termasuklah, The 100 Most Influential Young Entrepreneurs Award Winner, The Most Successful People in Malaysia (5th Edition, British Publishing House) dan Elite Entrepreneur 2023 by The Page, selain Malaysia Book of Records (First real estate company to provide National Dual Training System Program).

Berasal dari satu perkampungan nelayan di Pulau Ketam, Selangor, Bos Molly memberitahu, dia mula terlibat dalam dunia media sosial dan membuka akaun TikTok hanya untuk berkongsi ilmu mengenai hartanah.

Pun begitu siapa sangka, percubaan suka-sukanya itu membuatkan dia aktif sehingga ke hari ini di platform tersebut, lebih-lebih lagi selepas kandungan dimuat naik mendapat reaksi positif netizen.

BOS MOLLY meraih pelbagai pencapaian dan anugerah dalam bidang hartanah.

Akuinya, pada peringkat awal, dia hampir berputus asa kerana merasakan kandungan dikongsikan kurang meraih sambutan.

Selepas terjebak dalam media sosial, dia teruskan sahaja dengan disusuli usaha berterusan untuk mencipta kandungan lebih berinspirasi, sekali gus menarik perhatian ramai.

Untuk makluman, Bos Molly pada asalnya adalah satu karakter yang dicipta untuk diri Yeh Chain. Kemudian, karakter itu melekat kepadanya sehingga dikenali sebagai Bos Molly oleh netizen.

“Dalam saluran TikTok, saya menceritakan kehidupan seorang tuan rumah yang dikenali sebagai Bos Molly. Karakter ini mula wujud pada Mac 2022.

“Meskipun berpakaian baju tidur dan berselipar sepanjang masa, namun sebenarnya Boss Molly adalah tuan rumah yang mempunyai banyak aset dan hartanah.

“Mengenai konsep, ia sebenarnya diilhamkan daripada watak dalam sebuah filem lakonan Stephen Chow iaitu Kung Fu Hustle.

“Dalam filem itu ada seorang tuan rumah yang berpakaian macam itu. Tapi dia merokok, saya tidak merokok. Jadi, saya makan lolipop,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Menurutnya lagi, konsep yang diketengahkan mendapat perhatian ramai kerana mempunyai elemen pendidikan, perkongsian ilmu, lawak, rendah diri, jenaka dan mudah difahami.

Di sebalik karakter gila-gila dan lucu yang ditampilkan di media sosial, wanita itu juga nyata memiliki pelbagai kisah lampau yang boleh dijadikan pedoman.

BOS MOLLY mempunyai pengikut yang ramai dalam TikTok.

Saat ditanya faktor dirinya menceburkan diri dalam dunia hartanah sejak 12 tahun lalu, Bos Molly langsung tidak malu berkongsi kesusahan hidup keluarganya sebelum ini.

Jelasnya, dia bersama tiga beradik lain dibesarkan di perkampungan nelayan dan bapanya menjalankan perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan bagi menyara keluarga.

Kedai yang diusahakan bapanya itu pula disewa daripada pihak lain dan mereka sekeluarga tinggal di situ sehingga meningkat dewasa.

Katanya, kesusahan bapanya membesarkan mereka sekeluarga menjadi motivasi bagi dirinya.

Disebabkan itu, dia menanam impian untuk membeli sebuah rumah sendiri dan akhirnya berjaya dicapai ketika berusia 21 tahun.

“Pengalaman berdepan kesusahan pada masa lalu menjadi motivasi kepada saya menceburi bidang hartanah.

“Saya ingin membantu golongan pelajar B40 menceburi bidang hartanah kerana ia sangat terbuka luas serta kurang diceburi golongan muda.

“Saya juga percaya, pengorbanan terhadap ibu bapa sehingga saya nekad berhenti kerja untuk menjaga mereka yang uzur merupakan salah satu kunci kejayaan dikecapi ketika ini,” katanya.

Dikenali sebagai pengasas syarikat hartanah, BOS Group Sdn. Bhd., Boss Molly juga merupakan pegawai latihan bertauliah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) dan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Dia yang berlatar pendidikan dalam bidang kejuruteraan mekanikal mengakui, kejayaan itu tidak datang bergolek dan semuanya diperolehi hasil usaha tanpa putus asa selama ini.

Tambahnya, biarpun dirinya pendatang baharu sebagai pempengaruh, namun dia bersyukur kerana diberi kepercayaan oleh beberapa penganjur untuk membuat penampilan serta persembahan.

Sebelum menutup bicara, dia sempat berkongsi tip kepada anak muda terutama wanita yang mahu bergelar pempengaruh serta terlibat dalam bidang hartanah.

Bos Molly memberitahu, tujuan atau matlamat merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan. Katanya, setiap orang terutama wanita harus bertanya kepada diri sendiri tujuan mahu menjadi pempengaruh dan sumbagan yang boleh diberikan kepada khalayak.

“Mereka juga perlu yakin pada diri sendiri dan ‘membazir masa’ dengan kandungan yang baik. Jangan sesekali buat video bodoh dan burukkan orang lain atau menyentuh sensitiviti masyarakat.

“Sekarang ini, hari-hari muncul pempengaruh baharu dan fenomena ini baik sebab lebih ramai netizen boleh dapat informasi percuma secara online.

“Berbanding zaman dahulu, saya perlu menghabiskan berpuluh-puluh ribu ringgit bagi menyertai kursus hartanah dan pelaburan untuk belajar ilmu baharu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN