fbpx

KBS minta FAM perkenal tiket harga Rahmah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARIMAU Malaya kini dalam persiapan akhir sebelum membuka aksi Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini. - FAM

SUBANG JAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berharap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mampu memperkenalkan jualan tiket Rahmah untuk aksi pembukaan Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bertemu Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Menteri KBS, Hannah Yeoh, berkata pihaknya sentiasa memahami denyut nadi peminat bola sepak tempatan dan kini sedang menanti jawapan balas daripada FAM.

“FAM sudah buat keputusan untuk guna Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi hal ini bukan saja mengenai rumput tetapi persekitarannya kerana Harimau Malaya akan terima sokongan padu. Itu sebabnya sekarang apa yang diperlukan adalah penyokong beli tiket untuk bersama pasukan.

“Saya juga melihat komen yang meminta tiket Rahmah supaya lebih ramai beli dan saya pun sudah sampaikan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. Sekarang saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM.

“Sebaiknya boleh (harga Rahmah) untuk kita perbanyakan lagi jualan tiket supaya Harimau Malaya dapat dengar sokongan padu,” katanya kepada selepas merasmikan Persidangan Wanita Dalam Sukan ASEAN 2023, hari ini.

Sebelum ini, FAM menetapkan harga tiket RM60 bagi kategori Grandstand, RM80 (Premium), RM40 (Terbuka) dan RM5 untuk kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun.

Daripada kemas kini FAM pagi tadi, hanya 5,944 keping tiket terjual dan jumlah itu masih lagi kecil berbanding kapasiti sebenar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Dalam hal berasingan, Hannah mengesahkan KBS akan meneruskan tradisi skrin layar gergasi supaya lebih ramai penyokong Harimau Malaya khususnya di luar Lembah Klang dapat menyaksikan perlawanan Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan.

“Soal hak penyiaran dikendalikan FAM, jadi saya tidak mahu komen kerana mereka ada perjanjian mereka. Tetapi apa yang KBS boleh bantu adalah kita akan selalu buat skrin gergasi supaya lebih ramai rakyat yang tidak beli tiket boleh akses di semua lokasi seluruh Malaysia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI

BERITA BERKAITAN