Sejak minggu lalu, media sosial penulis dibanjiri dengan imej dan video yang memaparkan majlis konvokesyen yang berlangsung di beberapa universiti terkemuka.
Ada imej yang memaparkan seorang graduan melompat bersama rakan-rakan seperjuangan sambil membaling topi konvo ke udara sebagai tanda sudah tamat alam belajar.
Ada juga video seorang ibu tersenyum riang sambil memberi sejambak bunga mawar merah kepada anak perempuannya.
Hakikatnya, kegembiraan menggenggam segulung ijazah pada majlis konvokesyen bukanlah jaminan untuk seseorang graduan mendapat kerja diimpikan.
Isu graduan menganggur bukanlah sesuatu yang asing, fenomena itu berterusan berlaku sejak sekian lama apabila sebilangan besar graduan masih lagi bergelut mencari pekerjaan.
Mereka juga terpaksa menjadi penganggur disebabkan peluang pekerjaan semakin mengecil sedangkan jumlah graduan yang keluar daripada institusi pengajian tinggi semakin meningkat setiap tahun.
Secara purata 224,000 graduan dilahirkan pada setiap tahun berbanding penawaran kerja berkemahiran tinggi hanya 127,000. Oleh itu, bakinya iaitu lebih 90,000 graduan berdepan dengan masalah untuk memasuki alam pekerjaan.
Menurut satu kajian, antara punca graduan di negara ini kekal menganggur adalah kerana sikap terlalu memilih pekerjaan.
Walaupun kurang pengalaman bekerja, namun kebanyakannya daripada graduan cuba memohon pekerjaan bergaji tinggi, sekali gus mereka perlu bersaing dengan pemohon lebih berpengalaman.
Selain itu, kebanyakan graduan kurang cekap bekerja secara berdikari.
Ada juga dalam kalangan graduan yang lemah berkomunikasi.
Sementara itu, menurut kenyataan daripada Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan, isu graduan menganggur berlaku disebabkan ketidakmampuan universiti menukar kandungan kursus-kursus mengikut keperluan semasa.
Difahamkan kursus baharu yang mahu diperkenalkan sesebuah IPT kebiasaannya mengambil masa sehingga lima tahun sebelum kursus tersebut mendapat kelulusan untuk ditawarkan.
Biarpun gagal mendapat pekerjaan diidamkan, penulis memuji segelintir graduan yang sanggup bekerja sebagai penghantar makanan, menjadi pemandu e-hailing dan operator pengeluaran di kilang.
Pada pendapat penulis, graduan tidak perlu rasa malu untuk bekerja di luar bidang dengan gaji lebih rendah sementara menunggu pekerjaan tetap.
Janganlah rasa hina, sebaliknya sentiasalah yakin anda akan mendapat pekerjaan diinginkan dengan gaji setimpal pada suatu hari nanti.
Perkara tersebut dilalui sendiri oleh penulis yang pernah melakukan pelbagai pekerjaan selepas tamat pengajian di universiti termasuk bekerja sebagai jurutol dan pengawal keselamatan di sekolah.
Biarpun gajinya tidak besar, namun ia cukup bermakna buat penulis.














