fbpx
Ahli keluarga menuntut mayat bayi dari hospital untuk urusan pengebumian.

Menggigil pangku cucu tidak bermaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Tindakan seorang ibu tunggal meminta teman lelakinya menjaga anak bongsu selama 15 jam pada Selasa lalu membawa padah apabila bayi berusia 17 bulan itu diserahkan semula dalam keadaan tidak lagi bernyawa kelmarin.

Bayi lelaki itu maut selepas usus kecilnya mengalami kebo­co­ran selain terdapat kesan le­bam pada tubuh dipercayai mempu­nyai unsur-unsur penderaan.

Nenek mangsa, 66, berkata, dia bergegas menemui anak perem­puannya sebaik dimaklumkan tentang keadaan cucu lelakinya itu.

Katanya, sewaktu dipulangkan semula kepada ibu mangsa berusia 27 tahun pada pukul 7.30 pagi kelmarin, bayi tersebut sudah berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Menggigil saya memangku cucu yang sudah tidak sedarkan diri sepanjang perjalanan ke klinik kesihatan dengan kereta.

“Saya cuba panggil namanya dan tepuk badannya berkali-kali, namun tiada sahutan,” katanya sambil berlinangan air mata sewaktu ditemui Kosmo! di Tanah Perkuburan Islam Kampung Air Tawar, Kampung Raja, di sini semalam.

Seramai kira-kira 100 ahli keluarga menghadiri upacara pengebumian bayi berkenaan pagi semalam.

Nenek mangsa memberitahu, hatinya luluh apabila pegawai perubatan klinik kesihatan itu mengesahkan cucunya sudah meninggal dunia.

Katanya, mangsa amat rapat dengannya dan memang di bawah jagaannya sejak anak pe­rempuannya itu berpisah secara fasakh dengan bekas suaminya pada September lalu.

“Dia selalu tidur dengan saya hampir setiap malam, namun malam kelmarin (Selasa), teman lelaki anak saya mengambilnya untuk dijaga.

“Saya tidak berapa kenal teman lelaki anak dan tidak sangka perkara buruk ini boleh berlaku,” katanya.

Sementara itu, besan kepada nenek mangsa pula terkejut dengan kematian kanak-kanak berke­naan yang juga cucu lelakinya.

“Dia dan kakaknya di bawah jagaan bekas menantu perempuan saya selepas dia berpisah dengan anak lelaki saya.

“Jika benar ada unsur jenayah, ia sangat kejam dan kami harap kematian cucu saya mendapat pembelaan,” katanya.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad berkata, siasatan awal mendapati, ibu mangsa telah menyerahkan bayinya kepada seorang rakan lelakinya berusia 27 tahun untuk jagaan pada pukul 4 petang, Selasa lalu.

Katanya, bayi lelaki itu kemudian diserahkan semula kepada ibunya pada pukul 7.30 pagi kelmarin.

“Ibu mangsa kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Rakan lelaki ibu mangsa pula sedang dikesan polis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN