fbpx

[VIDEO] Mahkamah : Jurulatih tae kwan do berdepan 100 tahun penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Munir ketika dikawal ketat ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Shah Alam, hari ini. -Foto AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Seorang jurulatih tae kwan do berdepan penjara sehingga 100 tahun selepas didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap lima kanak-kanak perempuan antara September hingga Oktober lalu.

Tertuduh, Ahmad Munir Zainuddin, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali.

Mengikut semua pertuduhan, Ahmad Munir yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta itu didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 7 hingga 11 tahun termasuk menyentuh paha, punggung dan kemaluan mangsa selain menarik tangan mangsa bagi menyentuh kemaluan tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah dewan di Seksyen 24, di sini antara September hingga Oktober tahun lalu.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat bagi setiap pertuduhan, sekiranya disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabilah Abd. Rashid manakala tertuduh diwakili Peguam Adil Safwan Ahmad Shaffie.

Mahkamah menetapkan jaminan keseluruhan RM30,000 dengan syarat tambahan adalah menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri setiap 1 hari bulan di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu mangsa.

Sebutan semula kes pada 14 Disember depan.

Terdahulu, tertuduh tiba di pekarangan kompleks Mahkamah Shah Alam kira-kira pukul 8.50 pagi dengan dikawal ketat pasukan bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang pengajar seni mempertahankan diri ditahan di sebuah pasar raya di daerah ini kira-kira pukul 4 petang pada 2 November lalu.

Penahanan suspek dilakukan selepas menerima lima laporan berkaitan mencabul kanak-kanak perempuan berusia 7 hingga 11 tahun.

Siasatan terhadap suspek yang direman selama tujuh hari sebelum ini mendapati suspek menggunakan alasan mahu membetulkan tali pinggang mangsa di dalam tandas sebelum melakukan perbuatan jenayah.

Ibu mangsa pula dilaporkan berkata, anaknya hampir setiap malam meracau dan mengigau selepas dicabul guru tae kwan do terbabit, malah ketika solat pun fikirannya masih terganggu.

Wanita yang dikenali sebagai Ani memberitahu, anaknya juga kini tidak mahu berenggang dengannya kerana begitu trauma. – KOSMO!ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI