Anak-anak turut terdedah kepada gangguan kesihatan mental jika sering ditinggalkan oleh ibu bapa. – GAMBAR HIASAN

Overtime, kerja syif penyebab tinggal anak di rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Isu anak-anak ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa banyak didorong oleh komitmen ibu bapa yang perlu bekerja syif dan bekerja lebih masa selain kekangan kewa­ngan untuk membayar pengasuh.

Pengarah Bahagian Kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Dr. Sopian Brahim berkata, ia merupakan antara faktor penyebab yang diperoleh berdasarkan pemerhatian menerusi pengendalian kes pengabaian kanak-kanak yang dirujuk kepada JKM.

“Faktor pertama adalah pekerjaan yang mana ibu, bapa atau penjaga yang bekerja syif atau perlu bekerja lebih masa.

“Kedua adalah faktor kewangan iaitu kekangan pendapatan isi rumah yang rendah menyebabkan ibu, bapa atau penjaga tidak mampu untuk membayar kos jagaan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Jelas beliau, faktor lain adalah kekurangan penyedia perkhidmatan iaitu ada kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan pusat jagaan ha­rian kanak-kanak selepas waktu sekolah.

“Di samping itu, terdapat juga ibu, bapa atau penjaga mempunyai kecenderungan untuk mempercayai anak-anak yang sudah remaja mampu untuk menjaga diri sendiri tanpa pengawasan.

“Keadaan ini ditambah apabila mereka sudah tidak mahu berada di pusat jagaan harian selepas waktu sekolah,” ujarnya.

Katanya lagi, penggunaan gajet juga dirasakan mampu untuk memenuhi masa anak-anak ketika di rumah sehingga ibu, bapa atau penjaga pulang.

Berdasarkan faktor tersebut, katanya, boleh disimpulkan bahawa latar belakang ibu, bapa atau penjaga yang memilih untuk meninggalkan kanak-kanak di rumah tanpa pengawasan orang dewasa adalah pelbagai. 

Sementara itu, katanya, kanak-kanak yang ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa sangat berisiko untuk terdedah kepada kecederan fizikal sama ada kanak-kanak mencederakan diri sendiri atau ditimpa kemalangan seperti kebakaran, rompakan dan sebagainya.

“Mereka juga terdedah kepada kecederaan emosi yang mana kanak-kanak rasa terasing dan terabai apabila ibu, bapa atau penjaga seolah-olah mementingkan kerja daripada kanak-kanak. Situasi ini boleh mendorong kepada gangguan kesihatan mental kanak-kanak.

“Kematian juga boleh berlaku disebabkan kecederaan atau kemalangan yang berlaku,” katanya.

Jelasnya, kanak-kanak terlibat juga boleh terpengaruh dengan isu sosial seperti pornografi terutama yang menggunakan internet tanpa pengawasan di rumah. 

“Isu ini boleh mendorong kepada masalah sosial yang lain seperti ketagihan dan seks bebas,” jelasnya.

Ketika ditanya ibu bapa yang tidak berniat untuk tinggalkan anak di rumah tetapi terpaksa berbuat sedemikian disebabkan faktor kewangan, kata beliau, antara perkara yang ditegaskan dalam Akta Kanak-Kanak 2001 adalah pemeliharaan dan perlindungan kanak-kanak. 

“Kegagalan ibu, bapa atau penjaga memelihara dan melindungi kanak-kanak boleh dikenakan hukuman. Apa jua matlamat yang ingin dicapai bukan menjadi alasan untuk ibu, bapa atau penjaga mengabaikan tugas dan tanggungjawab terhadap anak-anak,” katanya.

Ujarnya, Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak (CRC) merupakan instrumen antarabangsa yang telah diterima pakai pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 20 November 1989 bagi mengiktiraf hak kanak- kanak. 

“Salah satu hak kanak-kanak yang telah dinyatakan melalui CRC adalah perlindungan. Kanak-kanak berhak dilindungi atas sebab ketidakmatangan fizikal, mental dan emosinya untuk membolehkan kanak-kanak turut serta dan menyumbang secara positif dalam masyarakat,” katanya.

Tambahnya, takrifan kanak-kanak dalam Akta Kanak-Kanak 2001 adalah seseorang yang di bawah umur 18 tahun.

“Oleh itu, selagi mana seseorang itu dikategorikan sebagai kanak-kanak, jabatan berpandangan seseorang itu tidak seharusnya ditinggalkan di rumah tanpa pengawasan orang dewasa atas apa sebab sekalipun,” tambahnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN