fbpx

K2

Buru ikan sambil ‘healing’ di Tasik Kenyir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara lokasi yang sering menjadi tumpuan kaki-kaki pancing di Tasik Kenyir.

MEMANCING bukan sekadar hobi tetapi juga merupakan aktiviti yang dapat memberi ketenangan dan kedamaian.

Perkara itulah yang menjadi sebab utama seorang kaki pancing, Mazli Abu, 59, meminati hobi memancing terutama di kawasan tasik.

Dia yang suka memburu ikan di Tasik Kenyir, Terengganu berkata, memancing dari darat menjadi pilihannya kerana dapat melepaskan gian, selain minda juga lebih tenang apabila melihat landskap hijau di sekelilingnya.

“Ia umpama pakej, dapat memancing dan ‘healing’ pada masa sama. Tidak hanya itu, ikannya juga tidak kurang menentang apabila berjaya dicangkuk mata kail.

“Bukan kerana memancing di laut tidak seru, masing-masing ada kelebihan tetapi saya lebih suka memancing dengan nuansa yang aman dan damai seperti di darat,” katanya ketika dihubungi K2.

Tambahnya, biarpun tasik tidak seluas laut, namun terdapat pelbagai spesies ikan yang boleh diburu dan setiap daripadanya mempunyai lubuk-lubuk tersendiri.

Berkongsi kisah tentang memancing, lelaki asal Kajang, Selangor itu memberitahu, Tasik Kenyir merupakan lokasi memancing pilihannya dan rakan-rakan pada setiap tahun.

Dia yang minat memancing sejak di bangku sekolah memaklumkan, Tasik Kenyir mempunyai pelbagai ikan seperti sebarau, toman, kelisa, ketutu, haruan dan lain-lain.

“Sepanjang saya memancing di Tasik Kenyir, ikan yang paling kerap ditangkap adalah sebarau.

“Ikan sebarau juga menjadi antara buruan jika saya memancing di tasik kerana ikan ini memberi tentangan yang tersendiri. Ia boleh dipancing pada waktu tertentu sahaja,” ujar bapa kepada tiga cahaya mata itu.

Ikan sebarau merupakan ikan yang paling kerap ditangkap Mazli di Tasik Kenyir.

Jelasnya lagi, dia lebih gemar mengggunakan teknik casting ketika memancing kerana dengan cara itu ikan lebih mudah tertarik.

Hal ini kerana, umpan tiruan yang digunakan dilihat seperti makanan buat ikan dan apabila direntap ia akan melawan dengan lebih agresif.

Tambahan pula, ikan sebarau banyak tinggal di kawasan reba kayu atau pokok tenggelam yang juga menjadi tempat bersembunyi.

Ada sebahagiannya pula di kawasan air terjun kerana di situ merupakan antara kawasan ikan tersebut mencari makanan.

“Untuk memancing sebarau biasanya saya akan pergi ketika waktu hujan kerana pada masa itu ikan banyak keluar dari tempat sembunyi.

“Ikan ini sukar untuk dipancing jika pada waktu cerah. Oleh itu, biasanya saya dan rakan-rakan akan turun memancing pada musim tengkujuh atau sekitar Disember,” kongsinya yang pernah menangkap sebarau yang mencecah berat hampir dua kilogram.

Ujarnya lagi, walaupun ada masa tertentu yang sesuai untuk memancing sebarau, ia tidak menjamin buruan akan mendatangkan hasil.

Katanya, semua bergantung kepada rezeki kerana ada ketikanya boleh dapat banyak ikan dan pulang dengan tangan kosong ketika memancing.

Bagaimanapun, dalam memancing, perlu ada ilmu dan tahu di mana lubuk ikan yang mahu diburu serta peralatan juga perlulah bersesuaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI