fbpx

‘Kenapa ayah yang pergi dulu?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fatin Hazirah menunjukkan gambar arwah bapanya yang maut dalam kemalangan ketika ditemui di rumahnya di Juasseh hari ini.

KUALA PILAH – Pasangan suami isteri yang terbabit kemalangan selepas telekung terbelit tayar motosikal semalam kerap menunaikan solat berjemaah di masjid sejak mereka bersara.

Anak mangsa, Fatin Hazirah Saleh, 32, berkata, arwah bapanya merupakan pesara Felda, manakala ibunya pula ustazah yang mengajar di sekolah rendah.

“Mereka melakukan rutin solat berjemaah di masjid sejak tiga tahun lalu selepas bapa bersara.

“Sebelum kejadian, saya hantar mereka ke pintu. Saya berada di rumah kerana cuti sakit selepas menjalani pembedahan kira-kira sebulan lalu.

“Apabila mendapat tahu kemalangan ini daripada abang, saya bergegas ke lokasi kejadian dan mereka (ibu bapa) sudah dikejarkan ke hospital,” katanya ketika ditemui hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 7 malam itu, Saleh Ali, 64, maut apabila motosikal yang ditunggang bersama isteri hilang kawalan setelah kain telekung wanita itu tersangkut pada tayar.

Mereka berdua kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bagi mendapatkan rawatan. Saleh bagaimanapun disahkan meninggal dunia pada pukul 3.53.

Isterinya, Rosni Johari, 60, cedera di bahagian muka, bibir berjahit dan patah beberapa batang gigi.

Bercerita lanjut, Fatin Hazirah memberitahu, sebaik tiba di hospital, jantung bapanya berhenti berdegup, namun kembali seperti sedia kala selepas diberikan bantuan pernafasan.

“Katil emak dan ayah terletak bersebelahan. Ayah akhirnya meninggal dunia. Emak tanya kenapa ayah yang pergi dulu kerana dia mempunyai banyak penyakit, namun kami sekeluarga reda dengan ujian ini,” katanya.

Pasangan itu sempat menunaikan haji sebelum pendemik Covid-19 dan kerap melakukan aktiviti bersama.

Bagi anak sulung pasangan itu, Mohamad Azmir Saleh, 34, keluarganya akan tetap meneruskan majlis perkahwinan Fatin Hazirah dan adik bongsunya, Mohamad Nor Zakwan, 23, pada 23 Disember ini.

Mohamad Nor Zakwan bakal bernikah 2 Disember ini dan mengikut perancangan, majlis kahwin akan dilangsungkan serentak dan persiapan juga dibuat oleh bapa mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI