fbpx

‘Apa salah kakak dibunuh dengan kejam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara ahli keluarga dan kenalan mangsa yang hadir menyempurnakan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh, Kemaman semalam.

KEMAMAN – Pembunuhan kejam seorang usahawan tudung dan pakaian dengan cara dia dilanggar sebelum ditikam 15 kali oleh rakan kongsinya sendiri kelmarin benar-benar mengejutkan seluruh ahli keluarga.

Adik mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, rata-rata ahli keluarga sukar mempercayai kakaknya yang berusia 65 tahun itu boleh diperlakukan sebegitu kejam oleh individu yang sangat dikenali.

“Sukar untuk kami terima kenyataan kerana arwah kakak seorang yang ceria dan tidak pernah memberitahu dia mempunyai masalah atau bermusuh de­ngan sesiapa termasuk suspek.

“Kali terakhir kami sekeluarga bercuti bersama adalah dua ming­gu lalu ketika berkunjung ke Thailand.

“Ketika itu, kakak nampak sangat ceria,” katanya ketika ditemui pada pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Pengkalan Kenangan, Kampung Baru Kerteh di sini semalam.

Jenazah selamat disemadikan pada pukul 12.15 tengah malam dengan dihadiri lebih 50 ahli keluarga dan kenalan.

Adik mangsa berkata, dia mengetahui mengenai kejadian pembunuhan itu selepas dihubungi oleh anak tunggal kakaknya pada pukul 9 pagi.

Katanya, mereka sekeluarga amat trauma dan berharap kematian kakaknya­ yang merupakan pesara kerajaan terbela.

“Saya benar-benar berharap pelakunya menerima hukuman setimpal di muka pengadilan kelak ,” katanya.

Sementara itu, anak lelaki tunggal mangsa yang berusia lingkungan 20-an enggan ditemu bual kerana terlalu bersedih de­ngan kematian ibunya.

Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dengan 15 kesan tikaman pada tubuhnya di dalam longkang berhampiran Pejabat Kesihatan Hulu

Terengganu di Batu 23, Jalan Kuala Berang, Hulu Terengganu kelmarin.

Wanita warga emas itu dikatakan dilanggar oleh suspek yang memandu kereta Honda Jazz sehingga tercampak ke dalam longkang berkenaan sebelum ditikam bertubi-tubi menggunakan senjata tajam disyaki pisau.

Dalam pada itu, suspek kes berkenaan yang juga seorang usa­hawan tudung dan pakaian telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga Rabu depan bagi membantu siasatan pembunuhan berkenaan.

Suami wanita itu yang merupakan seorang mekanik ber­usia 37 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Zur Azureen Zainalkefli di Mahkamah Majistret di sini semalam.

Terdahulu pasangan suami isteri berkenaan yang berpakaian lokap tiba di pekarangan mahkamah pada kira-kira pukul 10 pagi.

Suspek wanita tersebut kelihatan sebak apabila dikerumumi ahli keluarganya sambil berkali-kali merintih menyebut nama abangnya apabila dipeluk lelaki itu di pekarangan mahkamah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, wanita berkenaan ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang pada pukul 11 pagi kelmarin.

Beliau berkata, sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam pembunuhan berkenaan turut ditemui di kawasan sekitar rumah suspek.

“Suami wanita itu juga ditahan beberapa jam kemudian bagi membantu siasatan disebabkan kereta Honda Jazz dipercayai digunakan untuk melanggar mang­sa didaftarkan atas namanya,” katanya lagi.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI