fbpx

Perak harap kerajaan pusat, MAHB lulus segera permohonan naik taraf LTSAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sze Yee (tiga dari kiri) ketika mengadakan kunjungan ke LTSAS di Ipoh hari ini.

IPOH – Kerajaan negeri Perak berharap kerajaan pusat dan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) meluluskan permohonan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) dalam masa terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan, dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, pihaknya memahami kekangan kewangan kerajaan pusat, justeru kerajaan negeri Perak berhasrat mencadangkan model Kerjasama Awam-Swasta (PPP) untuk pengoperasian LTSAS tanpa perlu memanjangkan landasan lapangan terbang sedia ada.

Beliau berkata, LTSAS berkemampuan untuk menampung pesawat penumpang seperti Airbus A320 serta A319 dan juga tempoh penerbangan selama empat hingga lima jam.

“Kita sedia maklum bahawa MAHB menentukan keperluan menaik taraf sesebuah lapangan terbang dari segi penilaian kegiatan dan kapasiti lapangan terbang serta rekod data penumpang yang lalu.

“Kita berharap agar kerajaan pusat dan MAHB dapat memberi peluang menaik taraf dan merancakkan semula LTSAS. Ia merupakan pemangkin utama kepada pembangunan sektor pelancongan dan perindustrian secara khususnya di negeri Perak,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sze Yee berkata, Ipoh adalah hab ekonomi penting bagi negeri ini dan sekiranya kemudahan di LTSAS tidak ditingkatkan atau dipelihara dalam keadaan baik, Perak tidak mampu berdaya tahan mendepani persaingan sengit di persada dunia.

Menurutnya, kerajaan negeri Perak telah mencadangkan pelbagai inisiatif dan usaha menaik taraf LTSAS, maka jika MAHB meluluskan permohonan kerajaan negeri, ia dapat mengembalikan negeri Perak ke zaman gemilang.

“Sebagai rakyat negara ini dan warga negeri Perak, adalah tanggungjawab kita untuk mempromosikan Malaysia sebagai keutamaan. Bagaimanapun, sekiranya MAHB tidak dapat memberikan kelulusan, kerajaan negeri Perak tidak mempunyai pilihan selain mempromosikan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura.

“Ia bagi menggalakkan pelancong atau pelabur datang ke Ipoh melalui transit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura untuk memudahkan perjalanan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap kerajaan pusat dan MAHB untuk meluluskan permohonan kerajaan negeri Perak dalam masa terdekat bagi membolehkan LTSAS dilayan sama adil seperti lapangan terbang negeri lain.

“Ini adalah harapan terbesar negeri Perak dan penduduk Ipoh, diharapkan pihak berkuasa dapat mempercepat kelulusan dan tidak lagi mengenakan sekatan terhadap pembangunan LTSAS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI