fbpx

[VIDEO] Demi Palestin, ahli korporat Johor bida jam Rolex RM135,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zulkifli menunjukkan gambar ahli korporat yang berjaya membida jam miliknya kepada Kosmo! di KLIA tadi. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

SEPANG – Seorang ahli korporat dari Johor berjaya membida seutas jam jenama Rolex milik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkilfi Mohamad Al-Bakri pada harga RM135,000.

Difahamkan, penyerahan jam mewah yang merupakan hadiah daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu dibuat pada pukul 3.15 petang tadi di sebuah lokasi sebelum Zulkifli berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Zulkifli berkata, sejujurnya beliau berasa terkejut dengan pembelian jam tangan itu kerana mengenali hamba Allah terbabit.

Beliau bagaimanapun tidak mengetahui ahli korporat itu merupakan individu yang membuat bidaan tertinggi.

Zulkifli ketika ditemui Kosmo! di KLIA sebelum berlepas ke UAE dan seterusnya Jordan bagi menyerahkan wang bantuan kepada rakyat Palestin. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

“Beliau mahu saya rahsiakan namanya, akan tetapi katanya dia membeli jam tersebut kerana tiga sebab iaitu merupakan pemberian daripada Raja Salman selain pernah dipakai oleh saya serta demi Palestin.

“Maka beliau bertekad setinggi mana bidaan, dia akan mendapatkannya. Selepas kami bersembang dengan linangan air mata sebak, saya lihat dia begitu ikhlas demi Palestin,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sebentar tadi.

Jelasnya, sebahagian daripada hasil jualan jam tangan mewah itu iaitu RM100,000 akan diagihkan kepada rakyat Palestin melalui Muslim Care di Jordan esok.

“Bakinya RM35,000 pula akan diagihkan kepada badan bukan kerajaan di Malaysia bagi membantu rakyat Palestin,” ujarnya.

Sebelum ini bekas Menteri Agama itu dilaporkan melelong jam Rolex miliknya di platform Facebook bermula Isnin lalu dan wang tersebut akan didermakan sepenuhnya kepada rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman Israel.

Bidaan jam Rolex itu dilelong pada harga bermula RM40,000 dengan kenaikan bermula RM100 ke atas.

Jam mewah itu diterima Zulkifli pada Februari 2017 selepas diminta oleh kerajaan Malaysia selaku Mufti Wilayah Persekutuan untuk mewakili semua mufti dan ulama menyampaikan ucapan di hadapan Raja Saudi, Raja Salman dalam kunjungan hormatnya ke Malaysia.

Selepas itu, Zulkifli dihubungi Kedutaan Besar Arab Saudi di Malaysia mengenai hadiah daripada kerabat diraja itu.

“Saya tidak buka kotak cenderamata tersebut. Ia disimpan di pejabat di Putrajaya sehingga saya dilantik sebagai Menteri.

“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai Menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya.

“Di sana, barulah saya membuka dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI