fbpx

TUDM perkukuh kerjasama masyarakat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara misi penerbangan ihsan Pesawat Pengangkut TUDM C130H membawa kanak-kanak dan bayi dari Kuching Sarawak untuk mendapatkan rawatan segera di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

SEBAGAI suatu ketumbukan udara di dalam organisasi pertahanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain menjalankan tugas utama menjaga kedaulatan ruang udara negara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga turut melaksanakan tugas sekunder melibatkan penerbangan ihsan.

Penerbangan ihsan tersebut melibatkan mercy flight, penghantaran bekalan dan bantuan kemanusiaan sekiranya diperlukan ke kawasan yang dilanda bencana.

Menerusi penerbangan ihsan ini, terdapat tiga jenis perkhidmatan dilaksanakan iaitu MEDEVAC melibatkan khidmat mengangkut pesakit dari satu lokasi ke lokasi lain bagi mendapatkan rawatan perubatan.

Kedua, CASEVAC bermaksud Casuality Evacuation yang biasanya digunakan di dalam operasi tentera membawa pesakit yang mengalami kecederaan serius terutama ketika terlibat di medan perang.

Ketiga, BODEVAC bermaksud Body Evacuation iaitu membuat penghantaran jenazah atau mayat ke negara atau tempat asalnya.
Penerbangan ihsan yang akan dilaksanakan ini melibatkan pesawat-pesawat milik TUDM, namun bergantung kepada situasi kawasan, keadaan pesakit serta jarak penerbangan.

Penerbangan Ihsan turut melibatkan kerjasama bersepadu TUDM bersama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan Malaysia.

Antara pesawat yang diberikan tanggungjawab melaksanakan misi adalah pesawat helikopter EC725AP yang biasanya ditugaskan dalam situasi persekitaran terhad dan jarak penerbangan yang tidak jauh.

Pesawat CN 235, C-130H dan A400M pula ditugaskan sekiranya jarak penerbangan jauh khususnya pergerakan merentasi dua wilayah melibatkan Semenanjung Malaysia dan timur Malaysia (Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan) atau persekitaran yang sesuai.

Antara perlaksanaan penerba­ngan ihsan TUDM pada tahun 2023 ialah pada Mac yang lalu iaitu satu penerbangan ihsan menggunakan pesawat helikopter EC 725AP telah dilaksanakan oleh No 10 Skuadron dengan membawa tiga orang pesakit kritikal ke hospital berikutan kawasan Pantai Timur yang dinaiki air mengakibatkan laluan darat terputus.

Pada Jun lalu pula, satu penerbangan ihsan dilaksanakan membawa pesakit leukemia menggunakan pesawat C-130H oleh No 20 Skuadron bagi mendapatkan rawatan susulan dengan segera. Penerbangan ihsan itu mengambil masa lebih kurang dua jam membawa pesakit daripada Pangkalan Udara Subang ke Kuching.

Selain penerbangan ihsan, TUDM juga turut melaksanakan CIMIC di kawasan tertentu bagi mendekati masyarakat. Antaranya, program Real-life Experience Engagement dan Program Recruitment Drive Pasukan Simpanan Sukarela dari Kalangan Sektor Swasta. Turut dilaksanakan ialah promosi dan pengambilan anggota TUDM telah dilaksanakan pada 10 hingga 15 Ogos lalu di Kuching, Sarawak.

Helikopter TUDM melaksanakan penerbangan ihsan membawa pesakit kritikal ke hospital.

Pada 8 September pula, TUDM telah mengadakan aktiviti kebajikan Hipoterapi Kanak-Kanak Istimewa melalui pergerakan kuda di Paddock, Pangkalan Udara Subang.

Aktiviti seterusnya melibatkan program motivasi pendidikan bersama pelajar sekolah menengah telah dilaksanakan pada 13 September lalu di Dewan Auditorium Rajawali, Pangkalan Udara Sendayan.

Turut dilaksanakan program kebajikan pembaikan dan naiktaraf infrastruktur Sekolah Kebangsaan TUDM dan Sekolah Agama Intergrasi KAFA Al-Huda di Pangkalan Udara Subang bermula 1 sehingga 24 September lepas.

Pada masa sama, TUDM, turut mengadakan program kerohanian dan kesedaran menerusi Forum Perdana pada 27 September lalu di Masjid Seberang Perai Utara Butterworth bersama Ustaz Auni Mohamed.

Program CIMIC TUDM juga melibatkan program gotong-royong membersih Surau Bagan Belat dan mengecat tembok bangunan KAFA pada 5 Oktober lalu serta gotong-royong membersih Masjid Permatang Binjai pada 26 Oktober lalu.

Pesakit dibawa masuk ke badan pesawat TUDM setelah mendapatkan pengesahan daripada pihak hospital untuk penerbangan ihsan dan perlu diiringi pasukan perubatan.

Menerusi program K3M (Ke­sedaran, Keselamatan, Komuniti), TUDM telah melaksanakan aktiviti taklimat kesedaran dan keselamatan pada 18 Oktober lalu di Perkampungan Orang Asli Banting.

Di samping itu juga, TUDM turut melaksanakan program kebajikan (ATM & rakyat) dan pelaksanaan program Engineering Civic-Action (ENCAP).

Ia melibatkan program ramah mesra dan gotong-royong bersama pelajar tahfiz pada 28 Oktober lalu di Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun, Sekolah Rendah Agama Sungai Bedaun dan Masjid Nurul Iman Sungai Bedaun di Labuan.

Terbaharu, TUDM turut me­lakukan program Pemeriksaan Kesihatan dan Perubatan (MEDCAP) serta Pemeriksaan dan Rawatan Pergigian (DENCAP) pada 27 hingga 29 Oktober lepas di Kampung Orang Asli Paya Lebar, Hulu Langat,
Selangor.

Dengan perancangan dan pelaksanaan CIMIC ini membuktikan bahawa TUDM sentiasa bersiap siaga dalam apa juga tugas yang diamanahkan sama ada mempertahankan kedaulatan ruang udara negara di­samping turut berbakti kepada masyarakat di masa aman mahupun krisis bagi melestarikan ­kesejahteraan insan.

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI