fbpx

Dewan Rakyat: 301 projek perumahan sakit, terbengkalai selesai dipulihkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 301 projek melibatkan 38,752 unit rumah perumahan swasta sakit dan terbengkalai berjaya diselesaikan tahun ini dan dipulihkan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM28.88 bilion.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, angka tersebut berdasarkan statistik terkini yang disahkan dalam mesyuarat Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TSFT) minggu lepas.

“Bagi mengatasi projek perumahan yang bermasalah, strateginya dengan penubuhan TSFT. Status kemajuan projek akan dilaporkan oleh pemaju melalui sistem Housing Integrated Management System (HIMS).

“Dahulunya laporan ini dikemukakan secara berkala iaitu sukuan tahun, tetapi bermula pada Januari 2024 laporan ini dikemas kini mengikut status sebenar kemajuan projek di tapak,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan R.Yuneswaran (PH-Segamat) tentang strategi kementerian untuk menjejak projek perumahan swasta yang berstatus lewat, sakit dan terbengkalai secara komprehensif dan menyeluruh.

Menurut Akmal Nasrullah, TSFT turut menjejak projek dengan lebih terperinci supaya tindakan penyelesaian adalah lebih bersasar dan berfokus iaitu dengan menganalisa beberapa perkara penting.

Kata beliau, ia termasuk penyelesaian yang lebih berfokus bersama pemaju dan pihak terlibat seperti kerajaan negeri, pihak berkuasa tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi utiliti, bank dan persatuan pembeli.

Tambah beliau, TSFT turut memantau kemajuan projek sebenar melalui lawatan tapak secara berkala dan sistematik.

Menjawab soalan tambahan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) mengenai pembeli perlu membayar kepada pihak bank walaupun projek belum siap, beliau berkata, pemaju akan mengemukakan alasan teknikal untuk memperoleh lanjutan masa (EOT).

Justeru, katanya, perlu ada kawalan terperinci dan lebih ketat berhubungan perkara dan pembeli juga mempunyai hak untuk menuntut bayaran denda dari pemaju di atas kelewatan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI