fbpx

Bonnie berterusan cipta sensasi pada Sukan Para Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BONNIE ceria menunjukkan pingat emas selepas terus tampil cemerlang dalam acara 72kg Sukan Para Asia di Hangzhou, China semalam.

PEMEGANG rekod dunia, Bonnie Bunyau Gustin terus mencipta sensasi apabila jaguh angkat berat negara itu berjaya meraih pingat emas pada Sukan Para Asia 2022 di Hangzhou, China semalam.

Dalam saingan tersebut, Bonnie yang juga pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2022 itu terus tampil cemerlang apabila berjaya memastikan Malaysia mengutip pingat emas dalam acara 72 kilogram (kg).

Atlet kelahiran Sarawak tersebut berjaya melakukan angkatan keseluruhan 230kg sekali gus jauh meninggalkan pencabarnya dari China, Hu Peng yang meraih perak dengan angkatan seberat 208kg sementara Jamilov Bekzod dari Uzbekistan sekadar gangsa (204kg).

Biarpun Bonnie sebelum ini mengakui masih dibelengu kecederaan namun atlet berusia 24 tahun tetap berbangga apabila bakal meninggalkan temasya itu sebagai pemegang rekod Sukan Para Asia baharu.

Bonnie mengatasi rekod yang dipegang atlet powerlifting dari Iran, Roohallah Rostami yang melakukan angkatan seberat 229kg.

“Saya berbangga dengan pencapaian saya kerana saya sudah buat rekod di Sukan Para Asia yang dibuat oleh Rostami dahulu.

“Kunci kejayaan saya adalah doa kedua ibu bapa dan saya juga minta restu mereka. Terima kasih kepada jurulatih saya, ­Majlis Sukan Negara (MSN) dan juga ISN yang membantu saya selama ini,” katanya.

Kejayaan Bonnie merupakan kutipan pingat emas kelima buat negara selepas sebelum ini Malaysia mengutip kilauan emas menerusi acara renang, berbasikal dan juga olahraga.

Sebagai rekod, atlet berusia 24 tahun itu sebelum ini memecah rekod dunia acara 72 kilogram (kg) pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Atlet kelahiran Sarawak itu mencipta sensasi apabila me­ngangkat bebanan 231kg pada percubaan ketiga untuk mengatasi rekod lama miliknya, 230kg yang dilakukan ketika Piala ­Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 pada Jun 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI