fbpx

Polis lepaskan dua das tembakan, penjenayah rempuh kereta pasukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Shokri menunjukkan ketulan mampat ganja yang dirampas selepas menahan empat suspek di Padang Besar, kelmarin.

PADANG BESAR – Polis terpaksa melepaskan dua das tembakan sebelum berjaya memberkas empat suspek dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah dan penyeludupan migran di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar mengekori sebuah kereta jenis Proton Preve berwarna kelabu dari satu kawasan di Padang Besar.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, sebaik tiba di Taman Agrovet, polis cuba menghimpit kereta itu namun pemandu bertindak merempuh kenderaan pasukan.

“Tindakan agresif suspek menyebabkan polis terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta tersebut, namun suspek berupaya memandu sejauh kira-kira lima kilometer sebelum terbabas ke kawasan sawah di Kampung Sena Dalam.

“Suspek cuba melarikan diri serta bertindak agresif sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan salah seorang anggota mengalami kecederaan akibat terseliuh pada jari,” katanya pada sidang akhbar di IPD Padang Besar, di sini hari ini.

Kata beliau, pemeriksaan lanjut menemui 10 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 10 kilogram (kg) bernilai RM31,000 di dalam beg plastik diikat tali rafia pada bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah kanan.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati terdapat tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 21 hingga 24 tahun di dalam kereta berkenaan.

“Suspek wanita merupakan warga asing tanpa dokumen pengenalan diri dan polis masih menyiasat sama ada dia turut terlibat dalam sindiket pengedaran dadah tersebut atau hanya mangsa pemerdagangan manusia.

“Siasatan lanjut mendapati bekalan dadah dipercayai dari negara jiran dan ketiga-tiga suspek lelaki masing-masing mendapat upah sebanyak RM350 untuk membawa pendatang asing tanpa izin dan RM750 bagi membawa dadah,” jelasnya.

Menurut Mohd. Shokri, sindiket itu juga aktif dalam penyeludupan migran dan siasatan mendapati mereka telah tiga kali melakukan jenayah tersebut pada tahun ini dan aktif sejak awal tahun ini.

Jelasnya, kesemua suspek direman selama 28 hari di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bermula semalam manakala suspek wanita direman 14 hari bermula semalam hingga 4 November depan.

“Ketiga-tiga suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh, Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI