BELANJAWAN 2024 mencatatkan perhitungan tertinggi pernah dibentangkan dengan memperuntukkan RM393.8 bilion.
Dalam belanjawan yang dibentang oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, RM303.8 bilion dibelanjakan untuk mengurus, RM90 bilion untuk pembangunan dan RM2 bilion digunakan sebagai simpanan luar jangka.
Anwar juga menyatakan Belanjawan 2024 diyakini dapat memacu agenda pembangunan kebajikan rakyat serta melonjak pertumbuhan ekonomi negara.
Belanjawan itu juga diharapkan dapat membantu negara berdepan tentangan global masa kini, selain membimbing ekonomi negara ke tahap lebih baik.
Bagi mengulas lebih lanjut mengenai Belanjawan 2024, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berpeluang menemu bual anggota badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan yang juga pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Prof. Ulung Datuk Dr. Rajah Rasiah baru-baru ini.
KOSMO! AHAD: Belanjawan 2024 menyaksikan sebanyak RM393.8 bilion diperuntukkan iaitu yang terbesar dalam sejarah negara. Bagaimanakah belanjawan ini mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan memajukan negara pada tahun depan?
RAJAH: Belanjawan 2024 mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan memajukan negara pada tahun 2024 dan seterusnya memberi kesinambungan untuk mengukuhkan pentas pembangunan mampan menjelang tahun 2030.
Saya yakin belanjawan yang disediakan ini mempunyai teras dan penggerak untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bukan sahaja maju, malah dengan kesenjangan yang kurang antara kaum, jantina, dan wilayah serta mampan dari segi kelestarian, budaya, serta sosial.
Pada pendapat Datuk, apakah perkara-perkara baik yang telah dibentangkan oleh kerajaan dalam belanjawan kali ini terutamanya dalam mengangkat martabat rakyat?
Secara keseluruhan, apa yang saya lihat dan perhati melalui pembentangan belanjawan kali ini banyak pemberian dilakukan demi memartabatkan rakyat.
Antaranya, kerajaan menyasarkan beberapa peruntukan untuk mendukung golongan marhaen terutamanya mereka dalam golongan B40.
Begitu juga mereka yang terpencil dari kawasan bandar, golongan tua dan individu yang tinggal di negeri-negeri miskin seperti Sabah dan Kelantan.
Saya juga melihat belanjawan pada kali ini lebih memfokuskan dan bertujuan menghapuskan kemiskinan tegar serta menangani segala kekurangan yang timbul dalam masyarakat.
Belanjawan kali ini juga menyaksikan kerajaan memperkenalkan cukai keuntungan modal dan mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai barang bernilai tinggi. Apakah impaknya kepada kerajaan dan masyarakat apabila cukai berkenaan diperkenalkan?
Ini satu langkah yang amat baik untuk mengukuhkan hasil negara tanpa membawa beban kepada golongan marhaen.
Seperti yang kita sedia maklum dan tahu, kebanyakan negara mengamalkan cukai barangan mewah.
Langkah ini juga diperkenalkan di negara-negara Nordic seperti Norway, Sweden, Denmark dan Finland. Ia diyakini juga dapat mengurangkan jurang ketidakseimbangan antara golongan kaya dan miskin.

– Gambar hiasan.
Kerajaan juga telah meningkatkan cukai jualan dan perkhidmatan daripada 6 kepada 8 peratus (%) kecuali makanan dan minuman serta telekomunikasi. Kerajaan memaklumkan cukai ini tidak akan membebankan rakyat. Sejauh manakah kebenaran kenyataan daripada kerajaan itu?
Memandangkan kerajaan masih tidak mahu memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan keadaan hutang negara cemas, di mana hutang berkembang lebih pesat daripada hasil, jadi langkah ini bukanlah sesuatu yang janggal atau pelik.
Cuma kita harus sedar bahawa SST membawa dampak kepada yang kaya dan miskin.
Golongan B40 juga adalah mereka yang membeli barangan yang dikenakan SST seperti baju dan makanan di restoran atau francais-francais terkenal.
Dalam keadaan kos sara hidup semakin meningkat dan kejatuhan nilai ringgit, sesetengah pihak berpendapat apa yang diperlukan rakyat adalah peningkatan kuasa beli, namun apabila berlaku peningkatan cukai perkhidmatan, ia dikhuatiri akan menaikkan harga barangan, bagaimana ini akan membantu memperbaiki ekonomi?
Kenaikan cukai dilihat hanya akan kurangkan kuasa beli dan ia tidak semestinya akan menaikkan harga barangan.
Namun, kejatuhan dalam pertukaran asing semestinya akan meningkatkan lagi kos sara hidup kerana Malaysia banyak mengimport barang.
Kerisauan ini akan kekal dan sentiasa ada. Harapan saya agar Pelan Induk Perindustrian Keempat dan strategi-strategi yang terkandung dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) dapat memungkinkan peralihan ekonomi daripada nilai ditambah sederhana kepada yang tinggi.
Impak baiknya pula, ia dapat mendorong kenaikan upah demi menepati hasrat kerajaan untuk mendukung upah progresif.
Kerajaan mengumumkan akan mengapungkan harga diesel pada tahun depan kecuali untuk sektor logistik. Adakah ia merupakan langkah awal kerajaan bagi menghapuskan subsidi bahan api sepenuhnya menjelang 2025 nanti? Adakah ia wajar dilakukan?
Matlamat kerajaan dalam hal ini adalah untuk melarang pemilik atau pengguna kenderaan yang tidak layak menikmati subsidi bahan api dan ketirisan sumber.
Golongan marhaen akan tetap menerima subsidi tetapi melalui pengamalan subsidi bersasar.
Usaha ini dilihat akan dapat menjimatkan wang kerajaan berbilion-bilion ringgit tanpa membebankan golongan marhaen.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan akan merasionalkan pemberian subsidi secara berperingkat. Bagaimanapun, kerajaan tidak memperincikan mekanisme pelaksanaannya dalam Belanjawan 2024. Adakah, ia akan dilakukan secara senyap tanpa rakyat sedar?
Kerajaan masih mengkaji modaliti pelaksanaan subsidi bersasar.
Ia akan mengambil masa dan bukan mudah untuk dilaksanakan.
Namun, saya yakin ia akan dilaksanakan dengan perkaedahan yang betul nanti.
Ia bukan hanya memerlukan penyediaan pembiayaan untuk menjalankan tugas ini, tetapi juga latihan agar kakitangan terlatih itu peka kepada segala kehendak yang diharapkan daripada mereka.
Pengenalan cukai baharu, peningkatan cukai, merasional subsidi dan pengapungan harga diesel akan menyebabkan kos sara hidup masyarakat meningkat pada tahun depan. Apakah yang boleh kita jangkakan terhadap ekonomi negara dan kemakmuran masyarakat pada tahun depan? Adakah bertambah baik atau sebaliknya?
Saya kira, ia akan menaikkan kos sara hidup kerana kita menyasarkan untuk mengurangkan ‘penunggang’ percuma dan ketirisan sumber.
Kerajaan cuba meringankan dampak buruk daripada kenaikan SST dengan pemberian wang tunai kepada golongan B40 dan kakitangan kerajaan serta mereka yang telah lama diabaikan.
Kerajaan bijak merombak dan sedang mengubah pemberian subsidi agar hanya dapat dinikmati oleh golongan marhaen yang disasarkan.
Bajet kali ini juga menyaksikan golongan B40 mendapat bantuan sewajarnya, manakala kakitangan kerajaan memperoleh durian runtuh. Namun, nasib golongan M40 seperti dilupakan sedangkan mereka penyumbang cukai terbesar. Betulkan golongan ini dipinggirkan oleh kerajaan?
Biarpun ramai yang berpendapat golongan B40 dan kakitangan kerajaan yang mendapat faedah daripada Belanjawan 2024, namun sasaran kerajaan adalah B60 (terkandung di dalamnya M20 lapisan bawah).
Usaha sedemikian boleh dilihat menerusi langkah yang kerajaan ambil untuk meringankan beban yang dipikul oleh B40 akibat kenaikan SST daripada 6% kepada 8%.
Biarpun golongan M40 tidak dapat sebarang peruntukan secara langsung, masih terdapat beberapa lagi inisiatif yang akan memberi kesan positif kepada mereka.
Misalnya, dorongan yang kerajaan berikan untuk menjalani latihan dalam bidang vokasional.
Pada pandangan tuan, apakah perkara-perkara yang harus ditambah baik oleh kerajaan selepas pembentangan Belanjawan 2024 pada minggu lalu?
Kerajaan sudah pun ada beberapa lagi langkah yang akan dilancarkan nanti.
Ia dapat dikesan secara tersirat dalam pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri .
Antaranya, usaha mengurangkan defisit fiskal agar menepati 3.2 peratus atau Keluaran Dalam Negara Kasar siling pada tahun 2025. Biarpun saya kurang pasti sama ada kerajaan akan menggunakan semula cukai GST atau tidak, saya percaya pelaksanaan pada tahun ini sangat tidak wajar.
Dalam pada itu, cukai SST boleh dihentikan terus. Namun selagi pencerahan GST kepada rakyat tidak dibuat, keberkesanannya boleh dipertikaikan. Harapan saya agar ia dilaksanakan pada tahun 2025 nanti.














