fbpx

Bank Rakyat sedia kemudahan perbankan buat pekerja migran Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemeteraian kerjasama antara Bank Islam dan MNC Kapital di Jakarta, Indonesia semalam.

PETALING JAYA – PT MNC Kapital Indonesia Tbk dan Bank Rakyat semalam memeterai Memorandum Persefahaman bagi penyediaan kemudahan pembiayaan patuh syariah serta perkhidmatan perbankan dan kiriman wang kepada pekerja migran Indonesia (PMI), iaitu warga Indonesia yang bekerja di Malaysia.

Kerjasama itu mewujudkan perkhidmatan perbankan dan kiriman wang rentas sempadan untuk PMI bagi mendapatkan pembiayaan syariah sebelum ke luar negara sebagai modal untuk prosedur pentadbiran sebelum berlepas, serta untuk menyediakan dana untuk keluarga mereka di tanah air.

Bank Rakyat akan bertindak sebagai rakan perkhidmatan perbankan kepada PMI di Malaysia untuk melakukan transaksi pemotongan automatik daripada gaji yang diterima semasa bekerja di Malaysia terus ke akaun MotionBank, perkhidmatan perbankan digital yang dimiliki oleh MNC Kapital.

Direktur Utama PT MNC Kapital Indonesia Tbk, Yudi Hamka berkata, kerjasama antara MNC Kapital dengan Bank Rakyat akan memberi sokongan padu kepada aktiviti kewangan PMI.

“Berdasarkan data Agensi Perlindungan Pekerja Migran Indonesia pada Jun 2023, jumlah pekerja yang ditempatkan di Malaysia adalah melebihi 38,000 orang daripada hampir 136,000 pekerja yang telah berlepas tahun ini.

“Selain dapat mencapai pertumbuhan dalam pemerolehan pengguna dan volum transaksi, MNC Kapital juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengalaman perbankan dan pembiayaan mereka menerusi pelbagai inovasi jenama Motion, termasuklah MotionBank sebagai penyelesaian kewangan untuk PMI,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd. Irwan Mohd. Mubarak berkata, menerusi kerjasama berkenaan, Bank Rakyat menyediakan perkhidmatan pembukaan akaun simpanan sebagai platform pembayaran gaji kepada PMI.

“Ia membolehkan PMI menikmati kemudahan perbankan digital dan rentas sempadan seperti pembayaran dan pemindahan dana atau pengiriman wang kepada keluarga di tanah air dengan lebih mudah dan cepat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI