PETALING JAYA – Masih ramai pelajar berani menggadai nyawa dengan tidak memakai topi keledar ketika menunggang dan membonceng motosikal ke sekolah di kebanyakan kawasan kampung dan taman perumahan seluruh negara.
Bukan sahaja tidak mempedulikan nyawa, malah mereka tidak takut disaman apabila pemakaian helmet dianggap leceh dan jarak di antara rumah dengan sekolah yang dekat juga dijadikan alasan lapuk.
Di Pahang, tinjauan Kosmo! di beberapa sekolah di Kuantan, Maran, Bera dan Bentong mendapati, ramai pelajar tidak kira lelaki atau perempuan ‘selamba’ menunggang dan membonceng motosikal ke sekolah tanpa memakai topi keledar.
Seorang pelajar tingkatan lima yang ditemui ketika pulang sekolah di Kuantan berkata, sejak dahulu lagi dia yang tiada lesen memandu tidak memakai topi keledar dan lagipun tidak pernah dikenakan saman.
“Memang kami tahu peraturan kena pakai helmet, tetapi bukannya ada polis trafik atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Selama ini kami selamat sahaja.
“Jika ada pemantauan daripada pihak berkuasa, kami biasanya akan tunggu di sekolah sehinggalah polis atau JPJ pulang. Kalau masih ada, pandai-pandai kami lari ikut jalan lain,” katanya baru-baru ini.
Di Bera, seorang pelajar dikenali sebagai Mail, 15, memberitahu, dia diberikan keizinan menunggang motosikal ke sekolah kerana bapanya terikat dengan masa kerja.
Katanya, adalah menjadi satu kebanggaan dapat menunggang motosikal ke sekolah biarpun tiada lesen memandu dan topi keledar pula hanya dipakai pada masa tertentu.
“Ramai kawan yang naik motosikal, jadi saya pun nak juga. Saya minta dengan ibu bapa. Mula-mula memang tidak dapat sebab mereka bimbang, tetapi memikirkan bapa pun kerja tak tetap masa, mereka izinkan.
“Cuma ada masa saya pakai helmet, ada masa saya letak di dalam bakul. Kalau pakai helmet rambut yang telah digayakan akan rosak,” ujarnya.
Di Shah Alam, Selangor, seorang pelajar yang dikenali Farid, 17, berkata, ramai pelajar tidak memakai topi keledar kerana beranggapan leceh dan menyusahkan, malah jarak di antara sekolah dan rumahnya hanya kurang lima kilometer.
“Saya bawa motosikal pun tak laju dan tidak pernah terlibat dalam kemalangan. Jadi rasanya tak perlu pakai helmet selagi tunggang motosikal secara berhemah,” katanya.
Seorang lagi pelajar yang mahu dikenali Mohamad, 17, memberitahu, kehilangan helmet di sekolah beberapa bulan lalu menyebabkannya tidak lagi memakai topi keledar.
“Itu yang saya serik bawa topi keledar ke sekolah. Kalau bawa akan ‘dirembat’ dan perkara ini turut berlaku kepada rakan-rakan lain yang juga menunggang motosikal,” ujarnya.














