fbpx

Kerenah tok kadi ‘buli’ pengantin tidak dibenar di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sabri dan Angeline Tan dinikahkan oleh Mohd. Asri di Perlis pada Sabtu lalu.

KANGAR – Perbuatan atau kerenah segelintir tok kadi atau jurunikah yang kerap ‘membuli’ pasangan pengantin lelaki semasa akad nikah tidak dibenarkan berlaku di negeri ini.

Khutbah Jumaat bertajuk ‘Islam Memudahkan Perkahwinan’ dikeluarkan Jabatan Mufti Perlis hari ini menyebut bahawa antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia adalah apabila ‘dipermudahkan yang haram dan disukarkan yang halal’.

Menurut khutbah itu, tindakan tok kadi atau jurunikah yang selalu ‘mendera’ pengantin supaya mengulang lafaz terima ketika akad nikah kononnya belum sah adalah tidak wajar.

“Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skema sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

“Padahal akad nikah itu tujuannya adalah untuk menggambarkan persetujuan kedua-dua belah pihak menjadi suami isteri yang sah.

“Dengan perkataan nikah, bersama apa sahaja ayat yang membawa maksud kepada mengahwinkan seseorang dengan pasangannya maka sah ijab dan kabul itu apabila rukun-rukunnya dipenuhi,” katanya.

Menurut teks khutbah itu, tidak disyaratkan kabul mesti dalam satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama.

“Apa yang ingin kita jelaskan betapa proses ijab kabul itu begitu mudah dan senang. Tidak timbul terpaksa dilakukan berulang-kali seperti dibuat sesetengah pihak yang membuli pengantin.

“Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas serta pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin perlu ulang ke?

“Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur-aduk dengan hukum syarak,” jelasnya.

Jelasnya, lebih buruk lagi apabila ada jurunikah cuba menguji pengantin dengan menyuruh membaca ‘itu dan ini’.

“Ada yang bertanyakan Rukun Islam, rukun Iman, rukun nikah dan seumpamanya. Padahal jurunikah yang mesti memastikan rukun tersebut dipenuhi, itu tugasannya, bukan bertanya kepada pengantin.

“Ada yang suruh mengucap dua kalimah syahadah, seakan-akan jurunikah ragu-ragu dengan keislaman pengantin. Berbagai lagi tingkah laku jurunikah yang tidak wajar sehingga hari bahagia atau gembira pengantin menjadi hari yang dia dimalukan.

“Hal ini kita tidak benarkan berlaku di Perlis,” ujarnya yang menambah pernikahan hendaklah meneladani kemudahan yang dianjurkan Nabi Muhammad SAW. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI