fbpx

Kejatuhan ringgit mampu naikkan inflasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kedudukan ringgit yang semakin menjunam berbanding dolar Amerika Syarikat (AS$) dikhuatiri mampu mencetuskan lonjakan inflasi dalam negara, terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan makanan.

Nilai ringgit menurun kepada paras 4.7635 berbanding AS$ semalam, paras terendahnya sejak Krisis Kewangan Asia pada 1998 selepas berlegar di sekitar 4.72 dan 4.73 bulan ini.

Menurut Ketua Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid, impak yang paling dibimbangi daripada kejatuhan nilai ringgit pastinya adalah risiko kenaikan inflasi makanan, memandangkan Malaysia banyak mengimport barangan tersebut.

“Bukan semua barangan makanan disediakan subsidi oleh kerajaan dan sekiranya ini berlaku, yang paling terjejas tentu­nya kumpulan yang berpendapatan rendah,” katanya ketika dihubungi semalam.

Mengulas lanjut, Afzanizam menjelaskan, kejatuhan nilai ringgit banyak berpunca daripada faktor luaran dan bukannya disebabkan asas ekonomi negara sendiri, terutamanya ketika konflik di Asia Barat semakin memburuk disebabkan konflik antara Hamas dan Israel.

Menurutnya, lawatan Presi­den AS, Joe Biden berserta beberapa lagi pemimpin negara maju ke Israel yang menyatakan sokongan terhadap rejim tersebut menandakan bahawa konflik berkemungkinan akan berpanjangan.

“Perkara ini boleh memberi kesan langsung terhadap harga komoditi utama seperti minyak mentah. Justeru, perkara ini juga boleh memberi kesan langsung kepada inflasi dan dasar mo­netari.

“Ketidakpastian ini telah menyebabkan nilai mata wang asing serantau, termasuk ringgit terjejas apabila pelabur pastinya ber­alih kepada mata wang yang dianggap selamat seperti AS$ dan yen,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI