fbpx

Belanja RM111 di AEON BiG, menang Proton X50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sheikh Farouk (lima dari kiri) melancarkan sambutan ulang tahun ke-11 AEON BiG bersama rakan niaga di cawangan AEON BiG Wangsa Maju, Selasa lalu.

SUBANG JAYA – Hanya dengan berbelanja serendah RM111, pengunjung AEON BiG berpeluang memenangi tiga hadiah utama iaitu sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 Flagship serta dua unit Proton Saga Premium sempena kempen Belanja Lebih Menang Lebih.

Kempen yang diadakan selama sebulan, bermula hari ini sehingga 18 November depan itu adalah bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-11 AEON BiG (M) Sdn. Bhd. (AEON BiG).

Pengarah Urusan AEON BiG, Sheikh Farouk Sheikh Mohamed berkata, kempen tersebut sebagai tanda penghargaan kepada para pelanggan, pekerja dan rakan niaga atas sokongan yang diberikan sepanjang lebih sedekad penubuhan syarikat.

“Kami ingin meraikan hari ini dan detik ini bersama rakyat Malaysia secara keseluruhannya bersempena tempoh 11 tahun yang terindah bersama anda.

“AEON BiG telah bekerjasama dengan hampir 130 syarikat rakan niaga serta syarikat automotif, Proton Holdings Berhad (Proton) sebagai Penaja Platinum untuk menyediakan pelbagai hadiah lumayan buat para pelanggan, selain Penaja Emas iaitu Nestle, Felda Global Ventures, Mamee Double-Decker dan Tyson Malaysia,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Kakitangan pengurusan AEON BiG meraikan sambutan ulang tahun ke-11 syarikat yang ditubuhkan pada 1 November 2012.

Bertemakan ‘Meraikan Setiap Detik Kemenangan’, Sheikh Farouk berkata, kempen ini diinspirasi untuk memberi semula kepada pelanggan dan juga komuniti yang sentiasa menyokong AEON BiG terutama dalam tempoh mencabar seperti Covid-19, serta bencana banjir besar yang melanda pada 2021.

“Saya masih ingat bagaimana teruknya AEON BiG Shah Alam, Selangor terjejas semasa banjir melanda pada tahun tersebut, banyak kerugian yang kita terpaksa tanggung, hampir mencecah jutaan ringgit.

“Pun begitu, apa yang paling mengejutkan saya ialah apabila komuniti setempat dari surau berdekatan dan penduduk sendiri datang untuk bersama-sama membantu kakitangan AEON BiG melakukan proses pembersihan serta membaik pulih semula,” kongsinya.

Katanya, kenangan tersebut antara sebab utama kempen ini dilaksanakan, disamping dapat membantu komuniti untuk berbelanja dengan kadar berbaloi, yang secara tidak langsung dapat membantu pembekal merancakkan semula perniagaan mereka.

Tambah beliau, orang ramai yang berbelanja lebih turut beroleh peluang lebih besar untuk memiliki hadiah-hadiah utama menerusi kempen berkenaan.

Proton X50 Flagship, hadiah utama kempen Belanja Lebih Menang Lebih yang berlangsung sehingga 18 November depan.

“Perbelanjaan minimum adalah bermula daripada RM111 dalam satu resit, namun kalau pengguna berbelanja sehingga RM333, mereka akan beroleh enam kali peluang untuk menang.

“Bukan itu sahaja, seramai 11 orang pemenang bertuah akan dipilih setiap minggu untuk memenangi hadiah dalam bentuk AEON BiG Gift Card untuk berbelanja di AEON BiG,” jelasnya.

Menurut Sheikh Farouk, terdapat juga pelbagai promosi-promosi menarik akan ditawarkan selain pengumuman istimewa pada 11 November nanti.

“Pada 11 November nanti, akan ada promosi yang lebih istimewa akan diberi kepada pelanggan, jadi jangan lepaskan peluang menikmati semua tawaran ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sheikh Farouk berterima kasih kepada semua pihak terlibat atas komitmen dan kerjasama yang diberikan sepanjang tempoh operasi AEON BiG selama ini.

“Dalam dekad yang mendatang kelak, AEON BiG berharap untuk kekal menjadi lebih daripada sekadar sebuah pasar raya, tetapi juga sebahagian daripada kisah hidup ramai pelanggan di Malaysia.

“Semoga syarikat berdepan masa depan yang cerah, dengan komitmen yang tidak pudar untuk menyediakan pelanggan dengan produk dan perkhidmatan terbaik.

“Terima kasih atas sokongan rakyat Malaysia, dan AEON BiG akan terus berkhidmat dengan baik pada tahun-tahun akan datang,” ucapnya.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI