fbpx

Bapa kandung, teman wanita disyaki dera budak direman 7 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KANAK-KANAK lelaki yang berjaya diselamatkan selepas disyaki didera bapa kandung dan teman wanita bapanya dalam kejadian di sebuah rumah Flat Taman Pulai Jaya, Skudai, Iskandar Puteri, Jumaat lalu.

ISKANDAR PUTERI – Seorang bapa kandung bersama teman wanitanya direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes dera ke atas seorang kanak-kanak lelaki dalam kejadian Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, suspek lelaki berusia 37 tahun manakala teman wanitanya berusia 39 tahun itu ditahan di rumahnya di Taman Pulai Jaya, Skudai di sini.

“Mereka direman selama seminggu bermula Jumaat sehingga esok. Tindakan ini diambil susulan laporan polis yang diterima pada pukul 4.13 petang Jumaat lalu.

“Seorang pengadu yang juga seorang wanita memaklumkan menerima maklumat bahawa kanak-kanak itu berada dalam bilik air dalam keadaan kurus serta tidak bermaya.

“Pengadu juga menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Kosmo! melaporkan, penderitaan kanak-kanak lelaki itu yang didera sejak enam bulan lalu berakhir selepas disedari jirannya sebelum diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menurut Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, 46, mangsa tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya itu serta anak wanita berkenaan yang berusia tiga tahun.

Mengulas lanjut, Rahmat berkata, pihak polis kemudian membawa kanak-kanak itu ke balai polis dan pengadu turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati kanak-kanak berkenaan tidak bersekolah dan tinggal bersama bapa kandungnya serta teman wanita bapanya.

“Terdapat kesan dipukul terhadap tubuh badan mangsa, juga kesan pukul yang lama. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak 2001,” ujar beliau.

Orang ramai atau mangsa penderaan katanya, boleh menghubungi 911 atau Talian Kasih 15999 iaitu khusus untuk membantu mereka yang menghadapi masalah sosial berkaitan kebajikan, penderaan, kaunseling, pembuangan bayi, masalah sosial remaja, perkhidmatan kesihatan reproduktif dan perlindungan kepada yang memerlukan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI