fbpx

Belanjawan 2024: Dana khusus buru emas Olimpik Paris

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTINJEN negara berjaya meraih 32 pingat pada temasya Sukan Asia Hangzhou sekali gus melepasi sasaran 27 pingat keseluruhan yang ditetapkan sebelum ini.

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM20 juta di bawah insentif program Road To Gold (RTG) sebagai persediaan negara untuk menggapai pingat emas pertama Sukan Olimpik menje­lang edisi 2024 di Paris, Perancis.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pembentangan Belanjawan 2024 Malaysia Ma­dani di Dewan Rakyat semalam.

Ia pastinya membakar semangat atlet-atlet yang berada dalam program RTG ketika ini seperti jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menempa sejarah baharu di bumi Paris bermula 26 Julai tahun depan.

Jumlah RM20 juta itu terma­suk dalam nilai keseluruhan RM72 juta diperuntukkan tahun depan bagi memperkukuh ekosistem atlet acara podium.

“Kita meraikan kejayaan wira-wira tanah air yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas Sukan Asia Hangzhou dalam menggenggam 32 pingat.

“Bagi memperkasa ekosistem atlet para, RM12 juta disediakan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk program latihan dan persediaan atlet ke temasya sukan para antarabangsa.

“Sejumlah RM50 juta disediakan bagi menyelenggara dan menaik taraf kemudahan belia dan sukan seluruh negara khususnya bagi prasarana yang daif,” katanya.

Dalam masa sama, kerajaan akan terus menyediakan dana geran padanan berjumlah RM50 juta bagi menggalakkan pe­nganjuran acara sukan berprestasi tinggi oleh badan sukan dan ­se­ktor swasta.

Sementara itu, RM30 juta diperuntukkan untuk menggalakkan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia dalam pembangunan produk digital mereka bersama bakat tempatan bagi mempromosi Malaysia sebagai hab pembangunan industri e-Sukan.

Selain itu, program Rakan Muda juga diberi nafas baharu dalam usaha membentuk jati diri dan keperibadian anak muda Malaysia dengan RM20 juta disediakan untuk memperbanyak pengisian program-pro­g­ram belia.

Kerajaan juga bersetuju memberikan potongan cukai sehingga 10 peratus pendapatan bagi individu atau syarikat yang menyumbang kepada institusi, organisasi atau tabung yang melaksanakan program pendidikan termasuk pendidikan sukan.

Kerajaan turut mencadangkan pelepasan cukai khusus untuk pembelian peralatan dan aktiviti sukan terhad sehingga RM1,000 yang akan diperluas meliputi perbelanjaan yuran mengikuti latihan sukan.

Sebagai rekod, pembentangan Bajet 2023 menyaksikan peruntukan sebanyak lebih daripada RM300 juta bagi melaksanakan program latihan serta fasiliti sukan negara pada 2023.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI