SEPANG – Penumpang syarikat penerbangan MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) mahu pihak syarikat penerbangan tambang murah itu bertanggungjawab atas kerugian mereka berikutan pembatalan penerbangan berkuat kuasa semalam.
Tinjauan Kosmo! di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 mendapati, rata-rata penumpang melahirkan kekesalan atas pengantungan itu yang menyusahkan mereka selain menyebabkan kerugian ribuan ringgit.
Seorang penumpang, Andra, 17, yang berasal dari Jakarta, Indonesia berkata, dia sepatutnya menaiki penerbangan dari KLIA Terminal 2 menuju ke Bangkok, Thailand sekitar pukul 12 tengah hari semalam untuk bercuti bersama lima lagi ahli keluarganya.
“Kami tiba di sini lewat malam tadi (kelmarin) dan sepatutnya menyambung perjalanan ke Bangkok tengah hari ini (semalam), namun terkejut selepas mengetahui situasi yang berlaku kepada syarikat berkenaan.
“Tiada sebarang notifikasi diterima memaklumkan tentang masalah ini. Bila kami ke pejabat jualan tiada seorang pun pegawai berada di situ,” katanya semalam.
Terdahulu, MYAirline menerusi satu kenyataan memaklumkan syarikat telah menggantung operasi untuk satu tempoh yang akan dimaklumkan berikutan tekanan kewangan.
Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan memberitahu, penggantungan operasi MYAirline telah menjejaskan kira-kira 10,000 penumpang selain 40 penerbangan termasuk antarabangsa.
Berita berkaitan: MYAirline gantung operasi bermula hari ini
Keluhan sama disuarakan penumpang, Abdul Hadi Karim, 62, yang menyifatkan tindakan MYAirline menutup operasi tanpa pemakluman awal menyusahkan pengguna dan menyebabkan kerugian masa dan wang ringgit.

Dia yang juga pesara guru dijadualkan menaiki penerbangan pada pukul 12.25 tengah hari semalam ke Tawau, Sabah.
“Biasanya kita dengar penumpang terkandas kerana masalah cuaca atau kapal terbang, tapi kali ini dalam sejarah apabila syarikat penerbangan ini tidak beroperasi langsung.
“Saya pada mulanya tidak percaya, namun selepas diberitahu isteri dan memeriksa media sosial ternyata ia benar. Saya tetap meneruskan perjalanan ke Terminal 2, namun hampa apabila tiada seorang petugas di kaunter daftar masuk mahupun pejabat jualan,” katanya.
Tambahnya, dia terpaksa membeli tiket penerbangan baharu dengan harga sekitar RM600 untuk ke Tawau
Bagi Harih Palurui, 48, tindakan MYAirline dianggap tidak wajar dan menganiaya pengguna.
“Saya kena beli tiket baharu untuk ke Tawau esok dengan harga hampir RM1,000 berbanding tiket sebelum ini sekitar RM300. Jadi siapa yang mahu bertanggungjawab dengan masalah menimpa penumpang seperti kami?
“Sudahlah tiada seorang pun wakil syarikat yang ada memberi penerangan mahu pun membantu pengguna yang terkandas di sini,” ujarnya kesal.














